
Laporan / Foto : Sophia Aren Erik (Sarawak)
TATAU, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) merupakan inisiatif daripada kerajaan Sarawak untuk meringankan kos sara hidup rakyatnya selain keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap kebajikan rakyat Sarawak yang berpendapatan rendah.

Kaunter semakan kelayakan untuk penerimaan SKAS.
Pendaftaran S Pay Global bagi daerah Tatau telah bermula sejak 25 Februari 2025 dan akan berakhir pada hari ini iaitu 27 Februari 2025 bertempat di gelanggang bola keranjang SJK (C) Chung Hua Tatau.
Menurut salah seorang penduduk tempatan, Sharon Hew Hui Ping, 24, dia bersetuju dengan langkah Kerajaan Sarawak menyalurkan duit SKAS melalui aplikasi S Pay Global kerana ia lebih cepat dan selamat.

John (dua kiri berdiri) memerhatikan cara-cara petugas mendaftarkan maklumat seorang penduduk dalam aplikasi S Pay Global.
“Duit inisiatif bantuan ini akan lebih jimat kerana dimasukan dalam aplikasi seperti ini yang terhad kepada kegunaan tertentu,” ujarnya semalam.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai hadir ke gelanggang bola keranjang SJK (C) Chung Hua Tatau bagi meninjau suasana hari kedua pendaftaran S Pay Global.
John hadir bagi membuat tinjauan untuk melihat sambutan daripada penduduk daerah Tatau mendaftarkan maklumat mereka dalam aplikasi S Pay Global bagi penerimaan SKAS.
-RJ-