
Laporan/foto: Surina Simat (Maran)/AADK Pahang
MARAN, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 100 orang peserta dari 26 agensi kerajaan dan swasta di daerah Maran telah menghadiri seminar Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Pahang (AADK) dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Maran.

Tanda kenang-kenangan dari AADK kepada Datuk Khairun Nissa selaku perasmi program
Program yang dirangka untuk memberikan pendedahan kepada majikan dan pekerja berkenaan ancaman penyalahgunaan dadah, pencegahan serta pengawalan permasalahan najis dadah di tempat kerja menjadi objektif utama seminar ini.
Pegawai Daerah Maran Datuk Khairun Nissa Aris dalam ucapan perasmiannya berkata, apabila kita berusaha menjauhkan dadah dari tempat kerja, kita juga sedang melindungi keluarga, masyarakat, dan negara yang kita cintai.
Dengan tema sambutan Hari Antidadah Tahun 2025 iaitu Lebih Baik Cegah diiringi dengan slogan Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama, seminar ini diharap dapat memastikan setiap peserta yang hadir dapat memainkan peranan yang sewajarnya dalam memastikan tempat kerja bebas dadah serta selamat dan produktif.
Turut hadir memeriahkan seminar tersebut adalah Pengarah AADK Negeri Pahang Zirwatul Ahlam Zamzam dan Qadhi Daerah Maran, Ustaz Amirul Farhan.