
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat
KANGAR, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Berkat ketekunan melalui pembacaan dan mengikuti pelbagai kelas dalam talian, seorang doktor pakar kini boleh berbangga kerana hasil usahanya, pelbagai jenis anggur yang ditanam ladang anggur Teluk Syed Grape Park (TSGP) miliknya di Mukim Kurong Batang di Kampung Syed Omar, kini mula mengeluarkan hasil.
Dr. Noram Azlan Ramli, 56, seorang Pakar Perunding Oftalmologi yang telah lama berkhidmat di Hospital Tuanku Fauziah Kangar membeli dua ekar tanah di mukim Kurong Batang, Bintong, di sini pada mulanya tiadak terfikir untuk meceburi bidang pertanian dan tanaman anggur.
“Saya mula belajar untuk mengenali anggur ini menerusi pembacaan buku-buku dari luar negara dan juga kini mudah, melalui media sosial atau pun daripada Internet.

Hasil tanaman anggur di TSGP.
“Walaupun, ia perkara yang berlainan dengan bidang kerjaya saya, tetapi dengan keyakinan bahawa keadaan cuaca dan persekitaran di negeri Perlis ini, anggur sememangnya boleh dikomersialkan,” ujarnya ketika ditemui, petang Ahad.
Antara jenis-jenis anggur yang telah membuahkan hasil adalah Halloween, Dixon, Basanti, Lamboghini. Zest, Treasure, Crane, Flaminco, Aphrodite dan pelbagai lagi.
Teknik penanaman yang menggunakan teknologi fertigasi dan Internet Pelbagai Benda (IoT) memberi kemudahan kepada pengusaha TSGP ini.
Dr. Noram turut berhasrat agar ladang anggur miliknya berkembang pada masa hadapan dengan penggunaan teknologi serta berupaya memberi latihan berkaitan pengurusan TSGP kepada anak-anak muda tempatan.
“Pelbagai pihak datang untuk mengetahui teknik dan perkongsian pengalamannya berkenaan kaedah tanaman anggur ini.
“Antara institusi yang pernah datang ke sini untuk melihat sendiri hasil tanaman anggur ialah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian Negeri Perlis dan juga agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” katanya.
Katanya, TSGP bukan hanya menerima lawatan daripada institusi berkaitan penanaman malahan sering dilawat oleh pihak yang berminat dengan penanaman anggur.

Pengunjung diberi peluang untuk melihat sendiri hasil tanaman anggur.
“Pada hujung tahun yang lalu, pihak FAMA telah datang ke TSGP dan membuat lawatan kerja bersama Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli bagi permohonan Geran Agropelancongan untuk membangunkan Pusat Agropelancongan dalam RMK13,” ujarnya.
Menurutnya lagi, TSGP bermula daripada tanah gersang lima tahun yang lalu, telah mula menunjukkan hasil daripada teknologi dan kaedah tanaman yang dipelajari sendiri.
“Harapan saya di masa akan datang semoga signatures negeri Perlis sebagai salah satu plot penanaman anggur di Malaysia akan kembali menyerlah dan TSGP juga akan berkembang sebagai agropelancongan,” ujarnya.
-ZS-