Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Tenunan Banduan Terapi Pupuk Sifat Sabar dan Teliti

By 12 Februari 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini Aziz/Shuhaimi Ahmad

MARANG, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Di sebalik tembok besi di Penjara Marang, Terengganu, siapa sangka banduan di sini mampu menghasilkan tenunan songket berkualiti tinggi yang bukan sahaja dibeli oleh golongan kenamaan dan istana malah turut mendapat permintaan daripada pembeli dari luar negara.

Dua penghuni memperagakan persalinan songket yang ditenun di Kompleks Songket & Batik Penjara Marang

Menurut Penyelia Kompleks Songket Penjara Marang Ab Fadhil Ab Rashid ketika ditemu bual kelmarin, seramai 150 banduan yang dipanggil sebagai ‘penenun’ terlibat dalam proses menenun songket.

“Terdapat 120 alat menenun di kompleks ini memberi peluang kepada banduan untuk mengasah kemahiran mereka,” jelasnya.

Ab Fadhil turut menambah, songket-songket yang dihasilkan di sini mempunyai keunikan tersendiri dari segi corak dan kualiti benang.

Seramai 150 banduan yang dipanggil sebagai ‘penenun’ terlibat dalam proses menenun songket

Beliau yang juga salah seorang pereka di situ menjelaskan bahawa corak-corak songket yang mereka hasilkan datang daripada idea-idea pengajar dan penenun sendiri.

“Kami sentiasa berinovasi dan mengkaji untuk menghasilkan songket yang berkualiti dan mempunyai keunikan tersendiri berbanding yang terdapat di pasaran semasa.

“Antara produk istimewa yang dihasilkan di sini ialah Songket Dua Wajah yang telah diiktiraf sebagai Songket Dua Wajah pertama di dunia dan hanya menerima dua tempahan sahaja setahun kerana ia memerlukan ketelitian yang sangat tinggi dan proses penghasilannya yang lebih sukar.

“Songket Dua Wajah adalah antara contoh hasil seni yang memerlukan kesabaran dan ketelitian mendalam dan melalui aktiviti menenun ini, dapat diperhatikan banduan yang pada asalnya kasar menjadi lebih lembut dari segi kawalan emosi terutama ketika berdepan masalah seperti benang yang putus dan sebagainya,” ujar Ab Fadhil.

Menurut beliau lagi, songket yang dihasilkan di sini bukan sahaja menunjukkan kemahiran banduan tetapi juga mengekalkan warisan budaya yang sangat berharga sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan kemahiran dan pemulihan mereka.

Tambahnya lagi, dengan lebih 470 tempahan untuk Hari Raya yang diterima setakat ini, usaha ini bukan sahaja memberi peluang kepada banduan untuk memperoleh kemahiran baharu tetapi juga memberi mereka terapi dalam membentuk sifat sabar dan teliti melalui setiap helaian benang yang ditenun.

“Salah seorang penenun, Azman, 27 (bukan nama sebenar), berkata bahawa dia hanya memerlukan masa 6 bulan untuk mahir menenun dan sehingga kini, dia sudah 7 tahun berada di sini.

Usaha ini bukan sahaja memberi harapan baru kepada banduan untuk kembali kepada masyarakat dengan kemahiran yang dapat membantu mereka memulakan kehidupan baru selepas dibebaskan tetapi juga menyumbang kepada pembentukan sahsiah dan jati diri mereka yang lebih baik.

-AA-

Tinggalkan komen anda