
Laporan/foto: Wan Shahilawati Wan Baharuddin
KOTA BHARU, 25 Feb (MalaysiaAktif) – Terminal Bas Kota Bharu di Lembah Sireh, yang telah beroperasi selama 13 tahun sebagai stesen sementara, terus menjadi nadi pengangkutan utama bagi penduduk setempat dan pelancong.
Walaupun memainkan peranan penting, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan bagi meningkatkan keselesaan pengguna.

Nur Qistina Azmi (berdiri dari kiri) bersama rakan-rakan.
Menurut seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Nur Qistina Azmi, 20, terminal ini boleh dipertingkatkan dengan lebih banyak kemudahan untuk penumpang.
“Stesen ini menerima jumlah pengguna yang ramai setiap hari, justeru, ruang menunggu yang lebih selesa dan sistem pengudaraan yang baik dapat memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Nur Qistina mencadangkan agar terminal ini dilengkapi dengan ruang menunggu tertutup dan berhawa dingin, selain menambah bilangan tempat duduk bagi keselesaan penumpang, terutama pada waktu puncak.
Sementara itu, seorang peniaga runcit yang telah berniaga di terminal tersebut lebih 10 tahun Mohammad Mat Zin, 75, turut berharap agar kemudahan di terminal ini dipertingkatkan.

Mohammad Mat Zin pemilik Kedai Runcit di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu.
“Sebagai pusat pengangkutan utama, terminal ini mempunyai potensi besar untuk berkembang dan menawarkan lebih banyak kemudahan moden kepada pengguna,” katanya.
“Antara penambahbaikan yang dicadangkan termasuk penyediaan papan maklumat digital bagi jadual bas, laluan khas untuk warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU), serta sistem pencahayaan dan keselamatan yang lebih baik,” katanya.
Peningkatan kemudahan dan infrastruktur yang lebih mesra pengguna, Terminal Bas Kota Bharu berpotensi menjadi hab pengangkutan yang lebih efisien dan selesa, sekali gus meningkatkan pengalaman penumpang dan merancakkan lagi sektor pengangkutan awam di negeri ini.
-ZS-