
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Penerima bantuan tidak perlu rasa rendah diri apabila tersenarai dalam golongan penerima bantuan namun seharusnya menanamkan sifat sentiasa ingin mengubah hidup menerusi usaha dan pendidikan.

Pelajar-pelajar sekolah dalam kawasan DUN Kota Iskandar bersyukur menerima Bantuan Kasih Murid Johor (BKMJ)
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad, berkata pendidikan adalah bidang yang amat penting untuk pembangunan modal insan setiap anak-anak yang sedang membesar dan mampu menjamin masa depan dengan kerjaya yang lebih baik.

Seramai 250 pelajar sekolah menengah kebangsaan, sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dalam DUN Kota Iskandar telah menerima serahan Bantuan Kasih Murid Johor (BKMJ) 2025
“Dahulu semasa muda saya bekerja sebagai seorang nelayan dan jika anak-anak saya ingin menjadi nelayan juga, jadilah nelayan laut dalam dengan ilmu dan kemahiran yang lebih tinggi.
“Oleh itu, saya seru kepada semua ibu bapa agar memastikan anak-anak tidak keciciran dalam pelajaran dan sekarang banyak bantuan yang disalurkan oleh pihak kerajaan untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua,” katanya ketika merasmikan Program Bantuan Kasih Murid Johor (BKMJ) 2025 Peringkat DUN Kota Iskandar bertempat di Dewan Raya Gelang Patah, di sini, semalam.
Menerusi Belanjawan Johor 2025, Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan dana sebanyak RM6.4 juta yang memanfaatkan lebih 10,000 murid kurang berkemampuan seluruh negeri Johor.
Tambah Datuk Pandak, seramai 250 orang penerima melibatkan pelajar-pelajar sekolah menengah kebangsaan, sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dalam DUN Kota Iskandar telah menerima serahan BKMJ 2025.
“Kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan masalah rakyat dan saya harap bantuan ini dapat meringankan beban tanggungan keluarga terutamanya ketika menyediakan persiapan anak-anak untuk sesi persekolahan yang baru,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor Mohd Kamal Ahmad Untong, wakil rasmi Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru Zainuddin Zainal Abidin dan wakil rasmi Pegawai Pendidikan Daerah Kulai Kamaruddin Mohd Ali.
-AA-