Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Warga SK Kita Niah Jalani Latihan Memadam Kebakaran

By 28 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ Foto: Kesai Andi (Sarawak)

NIAH, 28 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 34 orang kakitangan dan 188 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kita, Niah semalam telah mengadakan Latihan Memadam Kebakaran atau ‘Fire Drill’ dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat, Batu Niah bertempat di Perkarangan Pejabat Sebaran Maklumat Nasional(NADI) Niah-Suai di sini.

Ceramah latihan dan demo memadam kebakaran telah diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan 1, Awang Azdwan Awang Sahari serta lima lagi anggota.

Pegawai Bomba Kanan 1, Awang Azdwan Awang Sahari memberikan ceramah sebelum memulakan sesi demontrasi kebakaran.

Awang Azdwan Awang Sahari, 36, dalam ceramahnya telah menyampaikan pelbagai kaedah dan cara pemadaman kebakaran mengunakan alat pemadam api yang betul mengikut jenis-jenis api.

Objektif latihan tersebut adalah untuk mendedahkan dan membiasakan semua warga sekolah terhadap tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan.

Turut ditekankan adalah tatacara menggunakan peralatan pencegahan dan pemadaman kebaran yang sedia ada seperti loceng penggera, hose reel dan alat pemadam api dengan cara yang betul.

“Latihan kebakaran di sekolah adalah penting untuk memberikan kesedaran kepada murid dan kakitangan sekolah tentang teknik menyelamatkan diri semasa kebakaran, penggunaan alat pemadam api dan punca-punca kebakaran di Kawasan sekolah seperti dari masalah elektrik,” kata Ahmad Taip, 57,  Guru Besar SK Kita yang turut menghadiri Latihan kebakaran tersebut.

Dalam program tersebut, para murid juga telah diberikan peluang untuk menaiki kereta bomba dan mengenali lebih dekat peralatan yang terdapat dalam jentera pemadam Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Program kolaborasi Bomba dan Penyelamat bersama pihak SK Kita dilihat telah memberikan kesan positif kepada warga sekolah dalam penyaluran informasi berkenaan cara memadam dan mencegah kebakaran dan juga merupakan latihan sangat penting untuk menyelamatkan harta benda dan nyawa seseorang.

-RJ-

Tinggalkan komen anda