
Laporan/foto: Mohd Fauzi (Tampin)
GEMENCHEH, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Lebih 500 orang hadir dalam Program Jelajah Ihya Ramadan Bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Peringkat Daerah Tampin di Masjid Kariah Kampung Air Rawa, di sini semalam.

Aminudin ketika menyampaikan ucapan.
Menteri Besar Datuk Seri Aminudin Harun dalam ucapannya, berkata pada penghujung tahun 2024 Negeri Sembilan dilanda bencana banjir dan daerah Tampin khususnya Gemencheh merupakan kawasan yang terjejas teruk.
“Terima kasih kepada semua jabatan, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang telah bekerja keras membantu mangsa banjir dan membantu dalam urusan pembersihan pasca banjir,” katanya.
Aminudin turut menyampaikan sumbangan kepada 281 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir tetapi tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih belum menerima bantuan dan juga sumbangan keceriaan warga emas kepada 42 penerima.

Penerima sumbangan yang hadir ke program Jelajah Ihya Ramadan Bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Peringkat Daerah Tampin.
Selain itu, Menteri Besar Negeri Sembilan turut menyampaikan sumbangan kepada 12 asnaf di Masjid Kariah Kampung Air Rawa dan 28 asnaf di Masjid Kariah Air Kuning Selatan.
Selepas majlis berbuka puasa di Masjid Kariah Kampung Air Rawa, Aminudin kemudian menunaikan solat isyak, tarawih dan bermoreh di Masjid Kariah Air Kuning sebelum menyertai qiamullail di Masjid Jamek Gemas.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim, Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa, Ahli Dewan Undangan Negeri Gemencheh Suhaimizan Bizar dan Pegawai Daerah Tampin Mohd Fadhil Hassan.
-ZS-