Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Arca Pasir Figura Wanita Tarikan Utama Fiesta Ungu di Feringgi Bay

By 2 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurul Wahida Mohd Noor (Timur Laut)

TANJONG BUNGAH, 2 Mac (MalaysiaAktif) – Keunikan Arca Pasir dengan figura wanita dalam Fiesta Ungu yang berlangsung di Feringgi Bay menjadi tumpuan serta tarikan luar biasa dalam siri Sambutan Hari Wanita 2025, Peringkat Negeri Pulau Pinang, di sini semalam.

Menggunakan hanya dua bahan utama iaitu pasir dan air, arca tersebut dihasilkan oleh Mohammad Ikhwan Ibrahim, 35, atau lebih dikenali sebagai Ikhwan Saloot, seorang artis visual kelahiran Pulau Pinang yang telah berkecimpung dalam bidang seni arca pasir selama hampir 12 tahun.

Sentuhan terakhir yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Menurut Ikhwan, pembinaan arca bersaiz tujuh kaki panjang dan lima kaki tinggi itu mengambil masa lima hari untuk disiapkan sepenuhnya.

“Arca sebesar ini memerlukan 2.5 tan pasir halus bagi menggayakan tema Sambutan Hari Wanita tahun ini, ‘Memacu Pencapaian,” ujar Ikhwan yang merupakan graduan Lulusan Sarjana Sains Seni Bina Lanskap dari Universiti Sains Malaysia (USM).

“Saya telah dijemput oleh pihak Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) bagi membina arca pasir sebagai simbolik Sambutan Hari Wanita Sedunia 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang dan tidak menjangka ia mendapat sambutan hangat dari semua peserta,” katanya.

Barisan tetamu kehormat juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan figura wanita yang membawa maksud ‘Memacu Pencapaian’.

Menurut Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) Datuk Ong Bee Leng, PWDC merupakan anak syarikat di bawah seliaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipertanggungjawabkan untuk membawa kelainan acara bagi setiap tahun sempena Sambutan Hari Wanita.

“Bagi tahun ini, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan antaranya forum, beach run, zumba, sukaneka dan paling istimewa adalah seni acra pasir yang jarang dapat kita lihat,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda