Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Banteras Berita Palsu Sambil Bersedekah Makanan Iftar

By 15 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sharifah Fairuz Mohd Tahir/Ahmad Faizal Jamil (Kinabatangan)

KINABATANGAN, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Di samping bersedekah, program pengagihan pek makanan berbuka puasa dimanfaatkan sebaiknya sebagai saluran alternatif mendidik masyarakat akan bahaya penyebaran berita palsu.

Sharifah (pegawai JAPEN) menyerahkan pek makanan bersama bahan penerbitan JAPEN kepada petugas Kesihatan di sini kemarin.

Program anjuran enam Komuniti Madani Daerah Kinabatangan ini juga antara mekanisme terbaik memastikan masyarakat lebih bertanggungjawab dalam menapis maklumat yang diterima daripada pelbagai sumber.

Setiausaha Komuniti Madani Pekan Bukit Garam, Mazlin Mazin berkata, Komuniti Madani juga bertindak sebagai duta kecil sebagai penyampai inisiatif dan dasar kerajaan dengan penerangan yang mudah difahami rakyat.

“Kami mengambil peluang ini untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu penting seperti pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), keselamatan dalam talian serta Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar.

“Tugas kami sebagai ‘Duta Kecil’ Jabatan Penerangan (JAPEN) adalah untuk membetulkan persepsi serta memastikan rakyat memahami apa yang dilakukan oleh kerajaan, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri,” katanya ketika ditemui semasa Program Pengagihan Pek Makanan Berbuka Puasa di Pekan Kota Kinabatangan, di sini kemarin.

Sementara itu, Ketua Komuniti Kota Kinabatangan, Abu Bakar Gafar percaya, program berkenaan turut membuka ruang untuk masyarakat lebih mengenali fungsi dan peranan pewujudan Komuniti Madani.

Abu Bakar menyampaikan pek makanan berbuka puasa kepada pengguna jalan raya di sepanjang Jalan Sandakan-Lahad Datu kemarin.

“Ini adalah satu program kemasyarakatan yang membuktikan keprihatinan terhadap masyarakat. Dalam masa yang sama, kami mengambil kesempatan untuk menyalurkan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan secara langsung kepada orang ramai.

“Program ini juga memberi peluang untuk Komuniti Madani lebih dekat dengan masyarakat selain memberikan penerangan secara bersemuka mengenai isu semasa yang relevan kepada sosio-ekonomi setempat,” ujarnya.

Untuk makluman, sebanyak 300 pek makanan telah diagihkan dalam program tersebut di samping penyerahan wang tunai kepada golongan balu dan asnaf sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan.

Antara Komuniti Madani Daerah Kinabatangan yang terlibat ialah Komuniti Madani Pekan Bukit Garam, Komuniti Madani Kota Kinabatangan, Komuniti Madani Nusa Jaya, Komuniti Madani Sukau, Komuniti Madani Batu Puteh@Paris dan Komuniti Madani Suan Lamba.

-RJ-

Tinggalkan komen anda