
Laporan/Foto: Sumardi Sugiman / Denny Asip (Sarawak)
BAU, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Sebagaimana tempat lain, setiap tahun Bazar Ramadan Bandar Bau menawarkan pelbagai makanan dan minuman tradisional dan moden yang pastinya sukar didapati pada hari-hari biasa sehingga menjadi lokasi tumpuan utama penduduk setempat terutamanya pengunjung setianya yang terdiri daripada pelbagai masyarakat berbilang kaum dan agama di daerah ini.

Henry (tengah, berbaju putih) menyantuni pengunjung Bazar Ramadan Bau yang menjadi tumpuan masyarakat berbilang kaum di daerah ini.
Tinjauan Jabatan Penerangan ( JAPEN) Daerah Bau mendapati antara penyebab bazar ini meriah setiap tahun kerana lokasinya strategik iaitu Bandar Bau yang merupakan kawasan tumpuan ramai dan berhampiran perkampungan masyarakat Melayu.
Bazar ini beroperasi dari 2 sehingga 30 Mac ini bermula jam 2.00 petang sehingga 7.00 petang.
Menariknya Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Dato Henry Harry Jinep semalam berkesempatan berkunjung dan menyantuni peniaga serta mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai sekali gus beliau merasmikan bazar ini.
“Bazar ini bukan sahaja menjadi platform peniaga menambah hasil pendapatan malahan mereka berpeluang memperkenalkan pelbagai menu menarik berbuka puasa yang sukar didapati pada hari-hari biasa serta berupaya menarik perhatian pengunjung daripada pelbagai bangsa dan agama di daerah ini,” ujar Henry ketika berkunjung ke bazar tersebut.

Henry (dua kanan) mengagihkan bubur lambuk semasa lawatannya di Bazar Ramadan Bau.
Dalam perkembangan yang sama, Henry mengingatkan semua peniaga di bazar berkenaan agar dalam suasana bazar penuh persaingan mereka perlu tampil kreatif menarik perhatian pelanggan dan mengutamakan kebersihan dalam mengendalikan makanan dan kebersihatan tapak bazar berkenaan.
Katanya, setiap tahun Bazar Ramadan akan penuh persaingan yang menuntut peniaga perlu tampil kreatif bagi menarik perhatian pelanggan seperti menawarkan diskaun pada jam terakhir sebelum berbuka bagi menghabiskan stok dan memanfaatkan platform media sosial bagi mempromosi makanan yang tular atau unik.
“Pada masa yang sama, semua peniaga harus mematuhi garis panduan keselamatan makanan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang selain memastikan keselamatan pelanggan,” jelasnya.
-RJ-