
Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Beberapa jam menjelang masuk waktu berbuka puasa atau sungkai, Bazar Ramadan Fujimart di Tawau meriah dengan kehadiran orang ramai yang mencari pelbagai juadah dan keperluan sungkai bersama keluarga.

Abdullah (berkopiah) sibuk melayani pelanggan yang membuat tempahan di gerainya semalam.
Tinjauan Malaysia Aktif semalam mendapati, bazar yang terletak di tengah bandar Tawau ini menjadi tumpuan utama penduduk setempat untuk mendapatkan makanan basah dan kering dengan harga yang berpatutan.
Berkongsi pengalamannya, peniaga ayam panggang, Abdullah, 62, berkata, Ramadan adalah bulan yang pernuh berkah dan memberi peluang kepada peniaga sepertinya melipatgandakan pendapatan berbanding bulan biasa.
“Bazar Fujimart menjadi pilihan utama untuk persiapan Ramadan kerana harga yang ditawarkan berpatutan dan kemeriahan di sini juga semakin terasa apabila ramai pelanggan datang untuk mendapatkan barangan segar pada harga yang lebih rendah.

Aneka pilihan air dan jus buah-buahan segar menjadi pilihan utama pengunjung.
“Bazar Fujimart bukan sekadar pasar biasa, tetapi telah menjadi satu lagenda di Tawau kerana peranannya sebagai destinasi utama sebagai pusat jualan yang menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa sejak sekian lama,” katanya ketika ditemui di gerainya di Bazaar Ramadan Fujimart, di sini pada Ahad.
Jelasnya, sebagai penduduk setempat, hiruk pikuk sahutan suara peniaga dan pembeli di Bazar Fujimart mengakibatkan bazar tersebut menjadi sebahagian lokasi wajib singgah atau tradisi menjelang bulan Ramadan di Tawau.
“Kemeriahan dan suasana yang ada di sini membuatkan pelanggan sentiasa kembali, dan ini membuktikan bahawa Bazar Fujimart telah menjadi sebahagian daripada tradisi tahunan yang dinanti-nantikan oleh penduduk setempat setiap kali Ramadan tiba,” ujarnya.

Pelbagai kuih muih tradisional dan ketupat menarik perhatian pengunjung.
Untuk makluman, Bazar Ramadan Fujimart yang berlangsung bemula dari 2 hingga 30 Mac 2025, beroperasi seawal jam 3 petang dengan menyajikan pelbagai juadah berbuka puasa dan keperluan Ramadan kepada pengunjung.
Selain kuih muih dan masakan berlauk, Bazar Fujimart Tawau turut menyajikan juadah tradisional masyarakat tempatan antaranya martabak, nasi kuning, buras dan barongko.
-RJ-