Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Bazar Ramadan Stadium Shah Alam Tumpuan Utama Warga

By 7 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Memi Yusoff/Norshazila Ahmad

SHAH ALAM, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Bazar Ramadan Stadium Shah Alam terus menjadi destinasi utama penduduk sekitarnya untuk membeli juadah berbuka walaupun lokasi bazar tersebut telah dipindahkan dari perkarangan Stadium Shah Alam ke tapak berhampiran tempat letak kenderaan stadium.

Lebih 200 gerai menawarkan pelbagai juadah daripada menu tradisional, moden sehinggalah antarabangsa menjadi tarikan utama di bazar ini dan kebanyakan pengunjung mula membanjiri bazar ini seawal pukul 3.00 petang, meskipun waktu operasi bazar hanya bermula pada 4.00 petang dan berakhir sekitar 8.00 malam.

Sebahagian pengunjung yang hadir di Bazar Ramadan Shah Alam.

Segelintir pengunjung sanggup datang dari jauh semata-mata untuk membeli juadah berbuka puasa di sini.

Menurut pengunjung dari Sijangkang, Amira Azman, 23, di samping kebersihannya beliau teruja dan kagum dengan saiz bazar tersebut yang kelihatan seperti festival makanan.

“Ini pertama kali saya datang bazar Stadium Shah Alam dan ia sangat besar, harga makanan sangat berpatutan serta bersih dan ia juga tidak sesak, jadi saya boleh santai-santai cari makanan,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, di sini semalam.

Manakala peniaga minuman Mr Yogurt, Muhamad Aqid Abdul Aziz, 28, sangat berpuas hati dengan kehadiran pengunjung yang ramai dan kemudahan yang ada di bazar ini.

Muhamad Aqid ketika ditemui di gerainya Mr Yogurt.

“Ramai pengunjung datang ke sini, kemudahan seperti surau, tandas dan ruang parkir (tempat letak kenderaan) yang banyak disediakan dapat memberi keselesaan pengunjung serta peniaga,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) telah melancarkan Kod Respons Pantas (QR) sebagai sebahagian daripada Kempen Keselamatan Makanan sempena Ramadan.

Melalui kod QR ini, pengunjung dapat membuat aduan mengenai sebarang salah laku penjualan makanan di bazar Ramadan termasuk Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, yang akan disampaikan terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga terus komited dalam mengurangkan pembaziran makanan melalui program MySaveFood@Ramadan di mana makanan yang dikumpul diagihkan kepada golongan memerlukan bagi mengurangkan pembaziran serta membantu mereka yang memerlukan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda