
Laporan/foto: Noor Aini/Mohd Sani (Perlis)
KANGAR, 6 Mac (MalaysiaAktif) – Hampir 50 buah peruncit telah mula menjual Beras Putih Tempatan (BPT) bersubsidi pada harga RM26.00 bagi pek 10 kilogram.
Tinjauan wartawan Malaysia Aktif pagi tadi mendapati rata-rata peruncit yang menjual BPT mendapat sambutan yang tinggi daripada masyarakat setempat.
Junaidah Baharuddin, 53, dari Kampung Abi Kubang Badak yang ditemui di Pasar Raya Al Naim Sdn. Bhd. Bintong, di sini pagi tadi mengucapkan rasa syukur keana memberikan kelegaan kepadanya dan keluarga.

BPT bersubsidi telah mula berada di pasaran negeri Perlis bermula pada 1 Mac lalu.
“Syukur, BPT dapat, saya mai (datang) cari berdekatan kawasan rumah dan saya tengok stok sedia ada, dapat menampung stok sebuah keluarga di kawasan berdekatan,” ujarnya.
Menurut seorang lagi pelanggan yang ditemui di Pasar Raya Borong Din AS Padang Behor, Mohd Haikal Abdul Razak, 34, dari Taman Chelong, dengan adanya BPT di pelbagai kedai sekitar masyarakat, ia membantu sebuah keluarga mudah mendapatkan bekalan tersebut.
Pengedaran BPT, dengan penerimaan sebanyak 30 metrik tan telah memasuki pasaran di Perlis bermula 1 Mac lalu untuk edaran kepada orang ramai serta kawasan sekitar.
Sementara itu, juruwang di Pasar Raya Al Naim Sdn. Bhd. Nur Athirah Azmi, 23, berkata dia akan memastikan setiap individu yang datang membeli dihadkan kepada dua paket beras sahaja.
“Kami akan tampal notis pemakluman berkenaan terhad dua kampit (paket) beras sahaja bagi setiap individu yang datang ke kedai bagi mendapatkan bekalan BPT,” ujarnya ketika ditemui pagi tadi.
-ZS-