Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Beli Barang Basah, Persiapan Sederhana Sambut Ramadan

By 1 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Pejabat Penerangan Daerah Hilir Perak

TELUK INTAN, 1 Mac (MalaysiaAktif) – Masyarakat beragama Islam mula berkunjung ke Pasar Besar Teluk Intan, di sini semalam untuk membeli barangan keperluan seperti ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran bagi persiapan menyambut Ramadan yang akan bermula esok.

Faridah turut membeli ikan kembung untuk keperluan kucing-kucing peliharaan keluarganya

Tinjauan Malaysia Aktif mendapati suasana pasar tenang dan rata-rata pembeli merupakan warga emas serta suri rumah yang datang membeli keperluan barangan basah sama ada secara bersendirian atau bersama ahli keluarga.

Pengunjung Faridah Seno, 61, berkongsi persiapan keluarganya untuk menyambut Ramadan adalah seperti biasa dan secara sederhana.

“Saya beli barangan basah dan kering untuk keperluan tiga ke empat hari, seperti selalu. Dalam seminggu, saya akan datang ke pasar ini dua atau tiga kali untuk mendapatkan bekalan ayam dan ikan yang segar.

Haji Abdul Rahman di hadapan kaunter menjual ayam

“Untuk bulan puasa, saya akan pastikan keluarga dapat menikmati hidangan masakan di rumah, sesekali bolehlah beli makanan di bazar,” ujarnya.

Sementara itu, Haji Abdul Rahman, 67, berkata persiapan tahun ini dibuat secara sederhana kerana anak-anak yang tinggal berjauhan tidak dapat bersama untuk menyambut permulaan puasa.

“Saya beli sedikit daging dan ayam untuk keperluan saya, isteri dan seorang anak yang tinggal bersama di rumah,” ujarnya.

Bagi peniaga ayam, Yanti Muhammad, 50, sambutan yang diterima kali ini agak kurang meriah berbanding tahun lalu.

“Mungkin juga disebabkan Ramadan yang disambut selepas musim buka sekolah. Orang ramai telah membelanjakan banyak wang untuk persediaan persekolahan anak-anak,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda