Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Bicara Santai Nafas Baru Ramadan: Langkah ke Arah Gaya Hidup Sihat

By 6 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)

TAWAU, 6 Mac (MalaysiaAktif) – Program Bicara Santai Nafas Baru di Bulan Ramadan Siri 1/2025 yang diadakan di Masjid Al Munawarrah, Taman Sri Titingan mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat.

Program ini bukan sahaja sebagai platform perkongsian ilmu dan perbincangan santai, tetapi turut memberi manfaat besar kepada masyarakat, khususnya golongan perokok dan pengguna rokok elektronik.

Nizam melekatkan plak ‘Nafas Baru Ramadan’ sebagai simbolik pelancaran program kesedaran bahaya merokok dan rokok elektronik kepada masyarakat.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata program berkenaan sangat penting untuk meningkatkam kesederan masyarakat dan selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat.

“Para pakar perubatan turut memberikan penerangan saintifik tentang risiko tabiat ini dan menggalakkan mereka untuk berhenti merokok. Program ini selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan gaya hidup sihat.

“Dengan usaha ini, kita berharap dapat memberi impak positif kepada individu dan komuniti, terutamanya dalam mengurangkan tabiat merokok dan penggunaan vape (rokok elektronik) yang memberi kesan buruk kepada kesihatan,” katanya ketika merasmikan program tersebut di sini pada Selasa.

Nizam berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk memperkukuh ukhuwah dalam kalangan masyarakat serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan dan amalan ibadah sepanjang bulan Ramadan.

Suasana Program Bicara Santai Nafas Baru di Bulan Ramadan Siri 1/2025 yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat di Tawau.

“Saya melihat bahawa selain menyampaikan maklumat berkaitan bahaya rokok, program seperti ini juga dapat mengeratkan hubungan antara pejabat kesihatan dan komuniti, terutamanya di kawasan kampung atau taman PPR Sri Titingan ini,” ujarnya.

Program melibatkan Jabatan Kesihatan Tawau ini turut menyediakan reruai pemeriksaan kesihatan percuma sekali gus membolehkan penduduk PPR Taman Sri Titingan membuat pemeriksaan kesihatan asas serta menerima khidmat nasihat perubatan secara percuma.

Antara pengisian utama program ini termasuk sesi berbuka puasa, solat fardu Maghrib, Isyak dan Terawih berjemaah serta tazkirah Bicara Santai Nafas Baru Ramadan yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tawau Dr. Mohd Anif Rosleh.

-ZS-

Tinggalkan komen anda