
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Siti Nur Hidayah Hamidi (Kuala Kangsar)
KUALA KANGSAR, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Bazar Ramadan Rahmah (BRR), salah satu inisiatif di bawah Program Payung Rahmah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menggalakkan peniaga untuk menawarkan jualan dengan harga berpatutan kepada pengguna.

Annisah menyantuni peniaga yang menawarkan Menu Rahmah
Menurut Ketua Cawangan KPDN Kuala Kangsar Annisah Abd Aziz, peniaga yang terlibat ini menawarkan harga jualan juadah berbuka puasa sempena bulan Ramadan pada harga Menu Rahmah.
“Harga makanan yang dikategorikan sebagai Menu Rahmah ini mestilah RM5 dan ke bawah.
“Sebagai menghargai sokongan peniaga dalam mengimarahkan aspirasi kerajaan untuk menawarkan harga lebih berpatutan kepada pengguna khususnya golongan B40, kita juga akan memberikan insentif e-dompet sebanyak RM100 kepada mereka,” katanya selepas membuat edaran topi dan apron kepada peniaga yang terlibat program ini di Puncak Bougainvillea, di sini petang semalam.

Mohamed Iqwan (kanan) antara pengunjung awal yang menebus e-dompet percuma
Turut berlangsung, pemberian e-dompet percuma sebanyak RM20 melalui platform Touch n Go kepada pengunjung.
Menurut Annisah, program itu bertujuan menggalakkan pengguna untuk membuat pembelian tanpa tunai.
“Kita mensasarkan seramai 650 pengunjung terawal hari ini dan penerima boleh membuat pembelian di mana-mana premis atau gerai yang menyediakan cara pembayaran tersebut,” tambahnya.
Sementara itu, pelajar Mohamed Iqwan Daniel Rija Luddin, 16, meluahkan rasa gembira selepas berjaya menebus e-dompet percuma.
“Terima kasih kepada pihak penganjur. Saya akan menggunakan e-dompet yang diterima untuk membeli juadah berbuka memandangkan banyak Menu Rahmah dijual di bazar ini,” ujarnya.
-AA-