Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Buah Engkala- Buah Eksotik Sarawak

By 17 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto : Joannes Duat Utih (Sarawak)

BINTULU, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Buah Engkala (dalam Bahasa Iban) merupakan sejenis buah eksotik yang terdapat di Sarawak.

Buah ini amat terkenal dan kebiasaannya buah ini mudah diperolehi di kawasan Tengah Sarawak seperti di Sibu, Sarikei, Kapit dan Song setiap kali musim buah-buahan tempatan yang bermula pada pertengahan Jun hingga ke penghujung Disember.

Buah Engkala yang dijual di Tamu Simpang Setiam, Bintulu.

Buah engkala kebiasaannya dijual di kawasan pasar tamu atau pasar tani dan buah ini amat mudah dikenali kerana warnanya iaitu merah jambu yang memang menarik perhatian bagi sesiapa yang tidak pernah melihat atau merasai buah ini.

Buah engkala yang juga dikenali sebagai ‘Buah Tebulus’ dalam Bahasa Melanau merupakan buah bermusim yang menjadi kegemaran dan tidak asing lagi terutamanya bagi masyarakat Iban, Melayu dan Melanau selain turut digemari oleh masyarakat lain yang pernah merasai keenakan buah engkala.

Pokok buah engkala.

Menurut Kacha Bajai, 59, buah engkala ditanam menggunakan benih biji buah yang telah matang.

“Pokok engkala mengambil masa selama tiga hingga enam tahun untuk berbunga dan seterusnya berbuah dan mempunyai daun yang amat rimbun dan mudah tumbuh tanpa mengira jenis tanah,” katanya ketika ditemui di tapak Pasar Tamu Simpang Setiam, Jalan Jepak – Kuala Tatau, semalam.

Katanya lagi, pokok engkala lazimnya menghasilkan buah sekali atau dua kali setahun mengikut musim.

Menurut Kacha lagi, buah engkala yang masih muda berwarna hijau muda dan isinya berwarna putih krim serta keras.

Buah engkala yang sudah masak.

“Buah engkala akan bertukar kepada warna merah jambu apabila mencapai tahap matang manakala isinya pula berwarna putih susu dan lebih lembut apabila ia sudah masak,” jelasnya sambil menambah buah engkala lazimnya menjadi juadah makan tengah hari atau malam bagi masyarakat di kawasan ini.

Buah engkala yang sudah matang hanya perlu direndam di dalam air suam selama beberapa minit sahaja sehingga buahnya menjadi lembut.

Kemudian, air rendaman perlu dibuang setelah buah lembut dan seterusnya dicampur dengan sedikit garam atau kicap mengikut selera masing-masing dan seterusnya sudah sedia untuk dimakan.

 

 

-RJ-

Tinggalkan komen anda