
Laporan/foto: Boniface Watt Su/Abang Haffali Mohd Nor (Sarawak)
PAKAN, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Buah penjaga (Bahasa Iban) merupakan buah ‘pelindung’ atau ‘penjaga’ bagi kepercayaan masyarakat setempat di daerah ini.
Buah ini dipercayai mampu untuk melindungi tempat peniagaan, rumah dan kebun dari benda jahat atau kata-kata yang tidak baik terhadap pemilik.

Rambo Sungguh salah seorang penjual buah penjaga.
Sejenis buah yang cukup unik dan jarang dijumpai, ia turut dikenali sebagai terung susu kambing.
Uniknya buah ini amat berbeza kerana bentuknya tidak mempamerkan ciri-ciri buah terung dan disokong oleh dua hinga empat ‘kaki’ yang membolehkannya berdiri.
Menurut Rambo Sungguh, 72, beliau adalah di antara yang menjual buah ini dan percaya buah ini mampu melindungi jualan beliau daripada perkara yang tidak baik.
“Pokok buah ‘penjaga’ ditanam melalui biji dan boleh tumbuh sehingga enam kaki tinggi dan menghasilkan bunga berwarna ungu dan putih.

Bentuk unik buah penjaga yang mempunyai dua hingga empat ‘kaki’.
“Buahnya pula berwarna kuning terang dan mempunyai biji berwarna coklat di dalamnya dan pokok buah ‘penjaga’ ini mempunyai duri tajam yang halus,” katanya ketika ditemui semalam.
Masyarakat setempat percaya buah ini mampu melindungi diri mereka daripada terkena ilmu hitam yang cuba dikenakan terhadap mereka atau peniagaan mereka.
Namun demikian, buah ini bukanlah sebagai pelaris kedai.
Dalam kepercayaan tradisional Melayu pula buah ‘penjaga’ ini digunakan untuk mengubati penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, buasir dan barah buah dada.
-RJ-