
Laporan/foto: Fikri Johari (LMS)
PANTAI BESAR, 2 Mac (MalaysiaAktif) – Kampung Pertanian Pintar MADANI di bawah program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) berjaya menghasilkan buah tembikai batu atau rock melon sebanyak enam ratus buah pada fasa pertama musim ini.
Menurut Ketua Eksekutif Vessel Pro Sdn. Bhd. Whanmugilan, 35, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gudang dipilih bagi penanaman buah tembikai batu di kawasan ini.

Whanmugilan ketika ditemuramah selepas perasmian projek SejaTi MADANI.
“Peruntukan sebanyak RM100,000 telah disalurkan kepada JPKK Kampung Gudang bagi memajukan tanaman buah tembikai batu supaya ia dapat dipasarkan di kawasan yang sememangnya menjadi tumpuan orang ramai dengan permintaan yang tinggi.
“Harga buah tembikai batu ini dijual dengan harga RM7.00 sekilo kepada warga setempat dan kami berjaya mendapat keuntungan jualan sehingga hampir RM 8,000,” katanya.
Menurutnya, anggaran berat buah tembikai batu ini secara keseluruhannya boleh mencecah kepada 1.8 tan.
“Kampung Gudang ini adalah satu-satunya kampung yang berjaya mendapatkan hasil yang lumayan dengan kadar jualan buah tembikai batu ini kepada penduduk setempat.

Antara buah tembikai batu yang belum dipetik untuk dijual kepada pembeli.
“Harapan saya supaya projek seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan dapat membantu penduduk di luar sana untuk menjana pendapatan sampingan kerana tidak rugi untuk kita berbakti kepada tanah sendiri sehingga ia mampu menghasilkan pendapatan yang agak lumayan,” katanya ketika ditemu ramah selepas perasmian projek SejaTi MADANI di Kampung Gudang, di sini semalam.
Whanmugilan turut mengharapkan lebih ramai komuniti di luar sana untuk belajar bagaimana hendak menjalankan projek sebegini.
-ZS-