
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/KRT Sungai Bangat
LABUAN, 20 Mac (MalaysiaAktif) – Bubur kacang yang dimasak secara bergotong-royong oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sungai Bangat berjaya mengeratkan hubungan baik dalam kalangan penduduk kampung itu.

Mahaini (dua dari kanan) menyampaikan bubur kacang kepada wakil komuniti.
Menurut Pengerusinya Mahaini Ismail, program itu bagi meraikan bulan Ramadan dengan cara berbagi rezeki kepada penduduk kampung untuk berbuka puasa.
“Acara begini mampu mengeratkan hubungan penduduk kampung dengan menggunakan konsep gotong-royong sambil melakukan amal jariah sekali gus memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat kepentingan hidup dalam keadaan harmoni.
“Program ini juga selari dengan peranan KRT sebagai mata dan telinga untuk menjaga perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini selain menyuburkan semangat kejiranan terutama semasa masyarakat kini yang sering sibuk dalam urusan harian,” katanya semasa ditemui pada Program Jom Memasak Bubur Kacang anjuran KRT Sungai Bangat, di sini semalam.

Ahli-ahli KRT sibuk menyiapkan bubur kacang yang siap dibungkus.
Mahaini turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Bangat dan Surau Al Mubarakah Kampung Sungai Bangat atas kerjasama yang diberikan dalam pelaksanaan program itu.
“Hasil kerjasama pelbagai pihak kami berjaya memasak dan mengagihkan sebanyak 700 bungkus bubur kacang kepada penduduk sekitar dan saya berharap aktiviti ini akan dapat kami teruskan di masa yang akan datang sekaligus memberi pendedahan kepada masyarakat awam mengenai peranan yang dimainkan KRT,” katanya.
-ZS-