Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Bubur Pedas Juadah Tradisi Ramadan di Sarawak

By 18 Mac 2025Mac 26th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Bulan Ramadan di Sarawak tidak lengkap tanpa bubur pedas, hidangan berempah yang kaya dengan pelbagai sayuran dan bahan segar.

Ia bukan sekadar menu berbuka puasa, tetapi juga mencerminkan warisan budaya masyarakat Sarawak yang diwarisi sejak turun-temurun serta menjadi salah satu simbol identiti kulinari masyarakat Sarawak, terutama ketika bulan Ramadan.

Program Bubur Pedas Peringkat PPD Sri Aman.

Tradisi ini masih terus dipelihara oleh masyarakat setempat dan bagi memperkasa semangat perpaduan serta meneruskan tradisi ini, Unit Pendidikan Islam bersama Biro Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman telah menganjurkan Program Memasak Bubur Pedas Peringkat PPD Sri Aman 2025 di kawasan meletak kereta Sekolah Kebangsaan Abang Aing, di sini kelmarin.

Menurut Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman Abdul Rahman Muhyiddin, program tersebut bukan sahaja bertujuan untuk meneruskan tradisi tetapi juga untuk memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

“Apa yang menarik, jelas kelihatan semangat kebersamaan dikalangan peserta yang terdiri guru-guru, pelajar serta masyarakat setempat ketika bergotong-royong menyediakan bahan-bahan seperti rempah khas, pelbagai jenis sayur-sayuran seperti pucuk paku, kacang panjang, lobak serta santan yang menjadi elemen utama hidangan ini dan semua ini menggambarkan semangat kerjasama dan perpaduan yang sangat penting dalam masyarakat kita.

Mohd Azri (tengah) menyampaikan sumbangan bubur pedas kepada salah seorang penerima.

“Dari aspek penyediaan hingga menikmatinya, setiap suapan membawa makna warisan yang diwarisi turun-temurun,” katanya.

Katanya lagi, bubur pedas bukan sekadar hidangan berbuka puasa, tetapi juga sebahagian daripada budaya dan identiti masyarakat Sarawak.

Simbolik agihan bubur pedas telah disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan, Sektor Perancangan PPD Sri Aman Mohd Azri Bunyok di mana sebanyak 500 bekas bubur telah diagihkan kepada agensi kerajaan, badan berkanun, orang awam serta masyarakat berhampiran.

Inisiatif seperti Program Memasak Bubur Pedas PPD Sri Aman 2025 membuktikan bahawa tradisi ini masih relevan dan terus diperkasa.

-RJ-

Tinggalkan komen anda