Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Bukit Tengkorak: Menyelusuri Jejak Sejarah dan Warisan Budaya

By 4 Mac 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abdul Hadi Abdul Ghani/Naif Rajamu (Semporna)

SEMPORNA, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Bukit Tengkorak, sebuah tapak warisan arkeologi yang terletak di Semporna, menyimpan sejarah geologi dan budaya yang sangat penting, bukan sahaja menarik minat ahli geologi tetapi juga menjadi tempat penemuan bersejarah.

Pembantu Muzium Tun Sakaran Daerah Semporna Januin Damianus, berkata Bukit Tengkorak berukuran dua kilometer diameter dan merupakan sebahagian daripada kawah gunung berapi yang masih wujud sejak zaman Pliosen hingga Kuarternari.

“Bukit Tengkorak merupakan sebahagian daripada bekas gunung berapi yang wujud di kawasan ini sejak jutaan tahun lalu. Ia telah lama diketahui oleh penduduk tempatan, tetapi hanya dikenali secara saintifik selepas Journal of Management Studies (JMS) menemui tempat ini sekitar tahun 1980-an.

Pegawai Penerangan Daerah Semporna, Mohamma Syah Haji Kisun (kiri) bersama Januin ketika lawatan ke Galeri Warisan Arkeologi Tengkorak, Semporna.

“Kawasan ini pada mulanya dikenali dengan nama Bukit Kabongan oleh penduduk setempat, dan dipanggil Hood Hill oleh ahli geologi sebelum akhirnya dinamakan Bukit Tengkorak selepas penemuan dua tengkorak dan rangka manusia di lokasi tersebut,” katanya ketika ditemui di Galeri Warisan Arkeologi Tengkorak, di sini pada Ahad.

Januin juga menjelaskan, Bukit Tengkorak adalah pusat pembuatan tembikar utama di Asia Tenggara pada zaman Neolitik, dengan penemuan berpuluh ribu serpihan tembikar dan sumber tanah liat yang digunakan.

“Apa yang menarik, teknologi pembuatan tembikar ini masih digunakan oleh masyarakat Bajau di Semporna hingga hari ini. Ini menunjukkan bahawa tradisi dan kemahiran kuno ini terus dipertahankan oleh komuniti setempat, menjadikannya sebagai warisan budaya yang penting.

“Kebanyakan pelancong yang mengunjungi tapak warisan Bukit Tengkorak berpeluang untuk menyaksikan sendiri tinggalan sejarah yang ada di sana. Aktiviti melawat tapak arkeologi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelancong, tetapi juga memberi pengalaman yang mendalam kepada pelajar sekolah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dengan melihat tapak tinggalan kerajaan dan tamadun terdahulu secara langsung, pelajar dapat memahami lebih jelas tentang sejarah yang sering diajar dalam buku teks.

Pelancong dari China memerhati tengkorak manusia yang ditemui di Bukit Tengkorak.

“Melalui lawatan ke tapak bersejarah seperti ini, pelajar dapat merasai pengalaman yang lebih mendalam, kerana bukti sejarah yang mereka baca kini terpapar di depan mata. Ada kalanya, segelintir pelajar lebih mudah memahami sesuatu konsep apabila ia dilihat secara langsung berbanding hanya membaca dalam buku.

“Dengan cara ini, tapak Bukit Tengkorak bukan sahaja menjadi destinasi pelancongan, tetapi juga merupakan tempat pembelajaran yang berharga, terutamanya dalam meningkatkan pemahaman tentang sejarah dan budaya prasejarah di kalangan generasi muda,” terangnya.

Untuk makluman, terletak sekitar 7 kilometer dari pekan Semporna, Galeri Bukit Tengkorak dibuka untuk lawatan orang awam setiap hari dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda