Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

‘Buoh Mulong’ Jadi Rebutan di Bulan Ramadan

By 3 Mac 2025Mac 12th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Wan Shahilawati Wan Baharuddin

KOTA BHARU, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Pada hari pertama umat Islam berpuasa, ‘buoh mulong’ atau lebih dikenali sebagai kuih onde-onde menjadi kegemaran ramai dengan sambutan luar biasa daripada pembeli yang sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya.

Kuih tradisional ini dihasilkan menggunakan tiga bahan utama iaitu tepung pulut, gula melaka dan kelapa muda parut, menjadikannya pilihan utama pencinta kuih-muih sepanjang bulan Ramadan.

Kuih onde-onde yang perlu ‘kepandaian’ bagi menggentel adunan menjadi bulat sekata.

Menurut seorang peniaga kuih di Pasar Gok Kapur, Rohani Setapa, 57, kuih onde-onde yang dijualnya mendapat permintaan tinggi setiap tahun, terutama di awal Ramadan.

“Menghasilkan kuih ini memerlukan kepandaian agar adunan dapat digentel dengan sekata dan cantik.

“Saiznya yang comel menjadi tarikan, manakala intinya menggunakan ‘nisan kerek’ atau gula melaka asli yang dipotong kecil,” katanya.

Rohani yang telah 12 tahun berniaga kuih onde-onde turut dibantu oleh suaminya, Mohd Nor Isa, 58, serta enam pekerja lain.

Orang ramai yang beratur panjang bagi membeli ‘buoh mulong’ hari pertama berpuasa.

Menurutnya, kuih ini perlu direbus dalam air mendidih sehingga ia timbul di permukaan sebelum segera diangkat dan digaul dengan kelapa muda parut untuk mengelakkan ia melekat antara satu sama lain.

Selain kuih onde-onde, Rohani turut menjual pelbagai jenis kuih tradisional lain seperti bubur caco (bubur gandum), sanggupal (kuih sagu), kuih katur, dan puteri mandi, yang turut mendapat sambutan hangat di kalangan pelanggan.

Keenakan kuih tradisional ini terus menarik perhatian ramai, menjadikannya antara juadah wajib di bazar Ramadan sekitar Kota Bharu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda