Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

‘Gendang Kantu’ Gendang Tradisional Kaum Iban Yang Unik

By 11 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Nyempal Inggang (Sarawak)

LUBOK ANTU,29 Mac (MalaysiaAktif) – Gendang Kantu adalah sebuah persembahan tradisional masyarakat kaum Iban yang diwarisi sejak turun -temurun dan masih mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat tempatan.

Gendang dan gong yang digunakan dalam persembahan Gendang Kantu.

Bagi penduduk yang tinggal di rumah panjang di Nanga Sumpa di sini, Gendang Kantu adalah sangat sinonim kerana ia merupakan persembahan tradisional yang tidak ditemui di tempat lain kecuali di daerah ini.

Gendang Kantu dimainkan menggunakan alat muzik yang dikenali sebagai gendang.

Gendang Kantu dihasilkan menggunakan kayu keras seperti ‘Belian’ dan menggunakan kulit haiwan khas untuk menghasilkan bunyi yang nyaring.

Penghasilan gendang ini boleh mengambil masa sehingga beberapa bulan untuk disiapkan kerana proses membuat lubang pada kayu tersebut memakan masa yang lama berbanding proses lain.

Menurut Inggut Melikin,57 tahun, ‘Gendang Kantu’ memerlukan minimum enam orang pemain gendang dan seorang pemukul gong untuk menjadikan bunyi tersebut menjadi sebuah irama ‘Kantu’.

Sambau (duduk depan kiri) dan Inggut (belakang, tiga dari kanan) pemain Gendang Kantu.

“Setiap pemain mempunyai pukulan yang berbeza daripada satu sama lain dan terdapat beberapa jenis nama pukulan iaitu ‘Ngepun @ Malut,’Ngelaki @ Nandan’,’Bebendai,’Gendang Indu’,’Tanggung’,’Rengayong’,’Tanjal’ dan ‘Binsai’ iaitu semua nama gendang adalah dalam bahasa Iban,” katanya kemarin.

Tambahnya, keunikan ‘Gendang Kantu’ adalah walaupun pukulan berbeza-beza namun ia akan membentuk sebuah bunyi sahaja.

Menurut Sambau Jugat, 47, yang juga seorang pemain Gendang Kantu, terdapat perbezaan antara Gendang Kantu dan Gendang Pampat di mana irama yang dimainkan sama sekali tidak sama dan biasanya ramai yang keliru di antara dua persembahan tradisional ini.

“Persembahan tradisional ini harus diwarisi serta diambil peduli oleh golongan muda pada masa kini agar tidak lenyap ditelan waktu,” katanya lagi.

 

-RJ-

 

Tinggalkan komen anda