
Laporan/foto: Aini Aziz/Shuhaimi Ahmad
KUALA TERENGGANU, 11 Mac (MalaysiaAktif) – Majlis Iftar Muhibbah Masjid Abidin meraikan seramai 39 tetamu istimewa bukan Islam daripada kaum Tiong Hua dan India yang tinggal berhampiran Masjid Abidin, di sini semalam.
Pegawai Hal Ehwal Bukan Islam Parlimen Kuala Terengganu Alex Chan Foo Yen pula sentiasa menanti undangan untuk menyertai majlis berbuka puasa anjuran Masjid Abidin, pada tahun ini merupakan kali kelapan beliau menyertainya.

Alex Chan Foo Yen.
“Saya sangat teruja untuk menyertai program ini kerana ia memberi saya peluang untuk lebih mendalami budaya dan tradisi umat Islam,” ujarnya ketika ditemui di majlis tersebut.
Walaupun bukan beragama Islam, Alex berusaha untuk merasai pengalaman berpuasa dengan cara yang sederhana seperti sekadar minum air, bagi menghargai nikmat berbuka puasa.
Menurut Eksekutif Kanan Sektor Pembangunan Keluarga dan Tugas-Tugas Khas Masjid Abidin Hakimah Abdul Rahman, program ini bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan antara masyarakat pelbagai agama dan kaum.
“Salah satu pengisian menarik dalam program ini adalah Forum Harmoni yang dihadiri oleh Mufti Terengganu Datuk Dr. Sabri Harun serta wakil daripada Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Terengganu Datin Norhana Ng Abdullah dan Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam Pejabat Menteri Besar Terengganu Dr. Bala Candra Gopal Krishan.

Petugas Masjid Abidin mengenakan selendang kepada seorang tetamu India sebelum memasuki masjid.
“Forum ini memberi ruang untuk perbincangan yang lebih mendalam mengenai keharmonian antara agama dan budaya di Malaysia,” jelasnya.
Pesara guru Bridget William, 58, yang juga penganut agama Kristian turut berasa teruja kerana ini adalah kali pertama beliau dijemput untuk berbuka puasa bersama komuniti Islam.
“Sebelum ini, saya hanya berbuka bersama jiran-jiran yang kebanyakannya beragama Islam dan saya tidak rasa kekok langsung,” ujarnya yang sangat menghargai peluang untuk menyertai majlis ini.
Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara umat Islam dan bukan Islam, malah turut memperkukuh semangat muhibbah dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.
-ZS-