
Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Nur Izzah Inyirah Mamat (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Suasana harmoni dan penuh kemesraan menyelubungi Program Jiwa@Komuniti MADANI yang dianjurkan oleh Pangsapuri Ladang Gemilang di Sekolah Kebangsaan Ladang, Kuala Terengganu, di sini kelmarin.

Wan Amal Firdaus menyampaikan ucapan ketika Majlis Iftar Picnic Sempena Program Jiwa@Komuniti MADANI anjuran Pangsapuri Ladang Gemilang
Berkonsepkan Iftar Picnic, program ini bukan sahaja menjadi platform untuk berbuka puasa bersama, tetapi juga menyatukan penduduk dalam semangat perpaduan yang erat.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Pangsapuri Ladang Gemilang 1 Wan Amal Firdaus Wan Mohamad, program ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Ladang.

Guru Besar SK Ladang Razmannazri Mat Shah menyampaikan bakul makanan kepada penduduk Pangsapuri Ladang Gemilang
“Penduduk di sini sangat teruja dan gembira dapat berkumpul serta berinteraksi dalam suasana santai sambil berbuka puasa bersama. Saya berharap program sebegini dapat diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Lebih 500 peserta memeriahkan program ini yang turut diisi dengan aktiviti menarik seperti ceramah keselamatan ICT, tazkirah Ramadan serta penyampaian bakul makanan kepada golongan asnaf di Pangsapuri Ladang Gemilang 1.
Wan Amal Firdaus menegaskan bahawa program ini bukan sekadar sesi berbuka puasa, tetapi juga satu inisiatif yang memperkukuh hubungan kejiranan, memupuk kesedaran tentang perpaduan serta menyebarkan nilai-nilai murni dalam komuniti.
“Secara keseluruhan, program ini mencapai objektifnya dalam membina komuniti yang lebih erat, berinformasi, dan bersatu padu,” ujarnya.
Kehangatan Iftar Picnic ini jelas mencerminkan semangat kebersamaan yang semakin kukuh dalam masyarakat, menjadikannya satu acara yang wajar diteruskan sebagai tradisi tahunan.
-AA-