
Laporan/foto: M Zakry Chan/Facebook Ab Rauf Yusoh
MELAKA 21 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Melaka menyediakan pengangkutan khas balik ke Melaka secara percuma kepada mahasiswa anak kelahiran negeri Melaka di beberapa buah negeri di seluruh negara untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri melalui Inisiatif Khas Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka Pengangkutan Bas Percuma Mahasiswa Anak Melaka.

Inisiatif Khas Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka kepada mahasiswa anak Melaka.
Mahasiswa anak kelahiran negeri Melaka yang sedang menuntut di Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Zainal Abidin (UNISZA) Kampus Gong Badak, Terengganu; Unuversiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang dan Kampus Pekan, Pahang; dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) serta Universiti Teknologi Petronas, Perak boleh mendapatkan perkhidmatan bas percuma ini yang dijadualkan bertolak pada 22 Mac 2025 (Sabtu ini).
Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Nur Faiqah Dayana Muhammad Zakri Chan, 20, berkata inisiatif ini sangat baik dan banyak membantu, walaupun sebahagian mahasiswa telah pun pulang ke Melaka dan hanya menyertai pembelajaran dalam talian namun masih ada lagi mahasiswa yang mengikuti kuliah secara bersemuka.
“Sebelum ini kami bersesak-sesak dan sentiasa memantau perjalanan bas express namun dengan inisiatif ini sudah pasti dapat melegakan duka lara anak perantauan mencari ilmu di negeri orang, moga inisiatif ini diteruskan setiap tahun kepada mahasiswa kelahiran negeri Melaka untuk pulang ke kampung,” ujarnya ketika dihubungi semalam.
-ZS-