
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Pasukan ‘Info On Wheels’ (IOW) Pejabat Penerangan Daerah Bau mempergiatkan aktiviti hebahan awam yang menekankan keselamatan dalam talian dan peranan komuniti setempat bagi meningkatkan kesedaran mereka berkaitan perkara tersebut.

Hebahan awam secara bersemuka mengenai keselamatan dalam talian di dewan Kampung Tringgus Rabak Rotan semalam.
“Menerusi hebahan awam ini, kita meningkatkan kesedaran komuniti agar sentiasa berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan, jadi pengguna internet yang bijak, cakna keselamatan siber dan bantu komuniti kita kekal selamat dalam dunia digital dan oleh itu jika ada mesej pelik atau tawaran tak masuk akal, kita jangan panik, semak dulu dengan pihak berwajib,” kata Pegawai Penerangan Daerah Bau, Sumardi Sugiman semalam ketika berucap dalam Program JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai Kampung Tringgus Rabak Rotan di dewan kampung tersebut.
Katanya lagi, terdapat pelbagai jenis ancaman keselamatan dalam talian supaya mereka tidak menjadi mangsa penipuan memadangkan scammer semakin licin sekarang ini.
“Antaranya phishing, kecurian identiti, penipuan e-dagang, serangan penafian perkhidmatan (DDoS), ada yang langgar hak cipta, serangan hackers, perisian hasad, ponorgrafi kanak-kanak, malahan ada pula yang suka menyebarkan kebencian dan menghasut keganasan,” katanya.
Tambahnya, perlu untuk mengambil pendekatan berwaspada dan menjaga adab kerana media sosial platform untuk berinteraksi bukan bertelagah.
-RJ-