
Laporan/foto: Mohd Faisal Ishak/Syaiful SAS (Rompin)
ROMPIN, 26 Mac (MalaysiaAktif) – Sempena sambutan Hari Polis Ke-218, Ketua Polis Daerah Rompin, Penolong Superintendan (DSP) Sharif Shai Sharif Mondoi bersama pegawai-pegawai kanan dan anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah Rompin dan Balai Muadzam Shah telah mengadakan program penyampaian bantuan kepada golongan asnaf di sini, semalam.

Antara 15 penerima daripada golongan asnaf dan AJK Komuniti MADANI Bdr. Muadzam Shah
Program yang dijalankan bersama majlis berbuka puasa dan Program @Komuniti MADANI – Sembang Santai anjuran Pejabat Penerangan Daerah Rompin dan Komuniti MADANI Bandar Muadzam Shah telah berlangsung di Restoran Hidayah, Bandar Satelit Muadzam Shah bertujuan untuk membantu meringankan beban penerima, selain memperkukuhkan hubungan erat antara pasukan keselamatan dan masyarakat setempat.

Bacaan doa kesyukuran selepas upacara memotong kek sempena Sambutan Hari Polis Ke-218
Dalam ucapannya, DSP Sharif Shai Sharif Mondoi menekankan pentingnya kerjasama antara masyarakat dan pihak polis dalam menjaga keamanan dan keharmonian setempat.
“Saya ingin mengajak masyarakat untuk terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan polis dalam menjalankan tugas kami,” katanya.
Seorang penerima bantuan yang ditemui, Nurlaila Hamzah, 52, meluahkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan pihak polis dalam membantu golongan kurang berkemampuan, terutama dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat dan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.
Dalam majlis tersebut, Ketua Polis Daerah Rompin telah menyerahkan 15 kotak sumbangan berbentuk kotak makanan dan barangan keperluan harian serta hamper kepada 15 orang penerima golongan asnaf.
Turut hadir dalam program ini adalah Pegawai Penerangan Daerah Rompin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bandar Muadzam Shah, Mazhisham Mazlan selaku Pengerusi Komuniti MADANI Bandar Muadzam Shah bersama Ahli Jawatankuasa serta wakil dari Kedai Emas Azizah yang turut terlibat dalam usaha memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.
-AA-