
Laporan/Foto: Sumardi Sugiman/Denny Asip (Sarawak)
BAU, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Kegiatan buli, sama ada secara lisan, fizikal, siber atau sosial, tidak boleh dipandang remeh. Sebaliknya, ia perlu dicegah dan dihentikan kerana boleh memberi kesan negatif terhadap mangsa, termasuk kesan fizikal, mental dan emosi.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Peninjau Baru, Desmond Andrin Aloi, 67, berkata beliau bertekad untuk menyebarluaskan maklumat yang menyemarakkan semangat muhibah dan perpaduan dalam keluarga serta komuniti.

Komuniti MADANI Kampung Peninjau Baru melaksanakan mesyuarat komuniti berkenaan di balai raya kampung itu.
Usaha ini bertujuan untuk menjayakan kempen ‘Katakan Tidak Pada Buli’ dan pada masa yang sama membudayakan amalan kesopanan serta kesusilaan dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, usaha memberi kesedaran serta mencegah budaya buli memerlukan komitmen daripada pelbagai pihak.
“Antara cara untuk mengelak daripada terlibat dalam perbuatan buli adalah dengan tidak menjadi penonton ketika kejadian berlaku, tidak ketawa apabila seseorang dibuli dan tidak mudah terpengaruh dengan kegiatan pembuli,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat komuniti di balai raya kampung tersebut, di sini kelmarin.
Tambahnya, semua pihak mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam memberi kesedaran serta memerangi gejala buli.

Komuniti MADANI Kampung Peninjau Baru menyatakan komitmen mereka dalam mencegah dan menghentikan gejala buli ini.
Ini termasuk peranan masyarakat dan institusi keluarga yang perlu memupuk semangat kasih sayang serta sikap saling menghormati antara satu sama lain demi melahirkan generasi yang bertoleransi.
“Elakkan penggunaan media elektronik untuk menyinggung perasaan dan emosi seseorang.
Selain itu, jauhkan diri daripada terlibat dalam kegiatan buli serta dapatkan bantuan kaunseling jika diperlukan,” jelasnya.
Desmond turut menyeru komuniti setempat agar membantu mangsa buli dengan melaporkan sebarang insiden kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya berlaku kes buli di kawasan mereka.
-RJ-