
Laporan/foto : Matsukarmi Suani/Rizalman Daim (Sarawak)
BALINGIAN, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI di daerah ini perlu sentiasa berhati-hati dan bijak bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan dan jangan mudah terpedaya dengan tawaran menarik di media sosial.

Khairunisa menyampaikan syarahan Keselamatan Dalam Talian – Peranan Komuniti kepada tetamu yang datang semalam.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Kuala Mas Balingian Khairunisa Habi Rahman, 37, berkata masyarakat perlu lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang kelihatan terlalu menarik.
Dalam masa yang sama, Khairunisa turut menasihatkan orang ramai agar tidak panik sekiranya mendapati wang dalam akaun mereka telah dipindahkan tanpa kebenaran dan jangan kongsi kata laluan sebarangan.
“Tindakan segera perlu diambil dengan menghubungi talian 997 yang dikendalikan oleh Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi mendapatkan bantuan atau membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam Program JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai Komuniti MADANI Kuala Mas Balingian di Masjid Nur Iman Kampung Kuala Balingian di sini semalam.

Ucapan oleh Matsukarmi Suani Program JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai Komuniti MADANI semalam.
Pegawai Penerangan Daerah Kecil Balingian, Matsukarmi Suani yang turut hadir di program tersebut berkata, Komuniti MADANI memainkan peranan yang besar untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat.
“Kesahihan dan ketepatan sesuatu maklumat amat penting bagi mengelakan fitnah dan ini adalah salah satu langkah bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu,” katanya.
Tambahnya, Komuniti MADANI diwujudkan untuk memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat tentang dasar kerajaan agar tidak terpengaruh dengan berita palsu atau propaganda yang boleh memecah-belahkan keharmonian.
-RJ-