
Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/Mohd Akmal Ibrahim (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Bagi memperkasa institusi dan mengukuhkan martabat wanita, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) menyediakan perkhidmatan perundangan merangkumi bantuan mediasi, nasihat guaman dan khidmat peguam di mahkamah secara percuma kepada golongan sasar.
Dilaksanakan menerusi Pusat Bantuan Guaman Wanita (PBGW), objektif penubuhan pusat berkenaan adalah untuk membantu masyarakat terutama wanita yang memerlukan pembelaan dan nasihat berkaitan perundangan di Mahkamah Syariah, sivil dan Mahkamah Anak Negeri (MAN).

Suasana semasa rakaman program FYI@JAPEN berlangsung.
Pengarah JHEWA Haslina Ismail, berkata jenis kes memerlukan khidmat nasihat yang pernah diterima oleh peguam PBGW antaranya berkenaan matromoni, poligami, pengurusan tanah dan jenayah.
“Nasihat perundangan ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang datang ke PBGW atau hadir ke mana-mana kaunter Klinik Guaman boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan PBGW juga memberikan khidmat peguam di mahkamah bagi membantu wanita yang menghadapi masalah perundangan yang melibatkan isu-isu keluarga.
“Bagi khidmat peguam di mahkamah biasanya melibatkan kes berkenaan penceraian, penjagaan anak (hadhanah), nafkah isteri, nafkah anak, nafkah Iddah, Muta’ah, harta sepencarian, nafkah tertunggak dan banyak lagi,” katanya dalam program FYI@JAPEN, di Wisma Wanita, di sini pada Khamis.
Tambah Haslina, selain membantu menyelesaikan kes klien, PBGW turut berfungsi dalam menjalankan khidmat klinik guaman bergerak.
“Melalui perkhidmatan bergerak ini juga PBGW mengambil peluang menyampaikan ceramah literasi perundangan dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai berkaitan hak-hak wanita khususnya dalam perkahwinan,” terangnya.
Untuk rekod, sehingga kini hampir 700 kes yang memerlukan khidmat bantuan daripada PBGW telah pun diterima dan diluluskan oleh pihak JHEWA sepanjang pengoperasiannya sejak tahun 2018.
-RJ-