
Laporan/foto: Nadia Abdullah/Zuriatina Tamat (Kluang)
KLUANG, 27 Mac (MalaysiaAktif) – Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @ Komuniti Madani Parlimen Kluang telah berlangsung di Surau At-Taqwa, Kampung Baru, dengan kehadiran Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi, di sini semalam.

Edaran bahan penerbitan Jabatan Penerangan.
Program yang diadakan sempena bulan Ramadan ini bukan sahaja mempererat hubungan komuniti tetapi juga memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
Dalam ucapannya, Wong Shu Qi menegaskan bahawa kerjasama erat antara Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kluang dan Pejabat Penerangan Daerah Kluang telah lama terjalin dan sangat terbuka untuk berkerjasama dalam program-program mendatang.
“Kami komited untuk memastikan program seperti ini dapat diteruskan bagi membantu mereka yang memerlukan serta mengeratkan hubungan dalam komuniti.
“Perpaduan adalah asas kepada keharmonian dan kemajuan sesebuah masyarakat dan dengan adanya program seperti ini, kita dapat membina hubungan yang lebih erat antara satu sama lain,” katanya.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat setempat, Wong turut menyerahkan sumbangan kepada penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal dan anak yatim.

Masyarakat mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan Ahli Parlimen Kluang.
Ahli Parlimen Kluang itu turut berkongsi pandangan mengenai isu semasa bersama Pegawai Penerangan Daerah serta menekankan kepentingan perpaduan dalam komuniti.
Program diakhiri dengan sesi fotografi sebelum berbuka puasa bersama-sama dengan tetamu yang diraikan.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Kluang Mohd Sharir Mohd Sani dan Ketua Kampung Kampung Sembrong Nazreel Jamil.
-ZS-