
Laporan/ foto: Isnaniwati Ginulis/Wenny Di Tian Soh
KENINGAU, 16 Mac (MalaysiaAktif)– Masyarakat kini semakin sedar kepentingan memberi peluang kedua kepada prospek daripada Sekolah Henry Gurney agar stigma negatif terhadap golongan ini dapat dihapuskan.
Sesuai dengan bulan Ramadan, aktiviti kemasyarakatan seperti program gotong royong memasak bubur lambuk bersama Komuniti Madani Biah dilihat sebagai sebahagian daripada usaha mempersiapkan prospek untuk kembali kepada masyarakat.

Sirajuddin ketika menyampaikan perkongsian mengenai usaha-usaha dijalankan oleh Jabatan Penjara Malaysia di sini kemarin.
Pengarah Sekolah Henry Gurney, PKP Sirajuddin bin Abdul Majid berkata sokongan daripada masyarakat dan agensi kerajaan dengan pengisian berkonsepkan ukhwah sesama insan semasa program iftar amat bermakna kepada prospek.
“Ia bukan sahaja memberi ruang kepada mereka untuk berinteraksi dengan masyarakat, tetapi juga meningkatkan keyakinan diri dalam usaha membina semula kehidupan.
“Selain aktiviti kemasyarakatan, prospek turut menjalani latihan bekerja dengan majikan dalam pelbagai sektor sebagai persediaan untuk berdikari selepas dibebaskan.
“Sementara dalam jagaan kami, prospek telah dilatih dengan pelbagai kemahiran yang berguna, seperti dalam bidang elektrikal dan pertanian, bagi memastikan mereka bersedia untuk kembali ke pangkuan masyarakat,” katanya dalam majlis Berbuka Puasa sempena program Jiwa@Komuniti Madani di Kampung Biah Tengah di sini pada Jumaat.
Untuk makluman, seramai 20 prospek terlibat menjayakan program gotong-royong berkenaan yang berpeluang untuk mengagihkan 1000 bungkus bubur lambuk kepada komuniti, jemaah Masjid Biah dan kakitangan Sekolah Henry Gurney, Keningau.
-RJ-