
Laporan/foto: Azfa Saffie/Noriah Athan (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 29 Mac (MalaysiaAktif) – Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor menganjurkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Stesen Petronas Pasir Penambang, di sini semalam.

Pelbagai jabatan dan agensi yang terlibat menjayakan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Kuala Selangor, semalam.
Program Kempen Keselamatan Jalan Raya terus dilaksanakan secara berterusan khususnya pada musim perayaan bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.
Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Raiz Radzuan, berkata kaedah bertemu dengan pengguna jalan raya secara hands on akan menyematkan rasa dan keinginan untuk memandu dengan selamat ke destinasi tujuan.
“Tahun lalu Daerah Kuala Selangor merekodkan sebanyak 53 kes kemalangan maut melibatkan penunggang motorsikal.
“Daripada jumlah yang dicatatkan, 13 kematian adalah terdiri daripada penunggang yang berumur 16 hingga 20 tahun, manakala 10 kematian pula melibatkan penunggang yang berumur 21 hingga 25 tahun,” katanya.
Menurutnya, beberapa lokasi yang kerap berlaku kemalangan telah dikenal pasti antanya KM 24-72 Jalan Klang -Teluk Intan serta di KM 7-30 Jalan Kuala Selangor -Kuala Lumpur.
“Manakala lokasi blackspot yang dikenal pasti pula adalah di Pekan Tanjong Karang, serta Jalan Kuala Selangor-Rawang.

Pelancaran kempen yang diadakan di Stesen Petronas Pasir Penambang, Kuala Selangor.
“Harapan saya supaya agensi penguatkuasaan dapat memantau sebaiknya lokasi-lokasi yang dinyatakan, di samping agensi seperti Jabatan Kerja Raya membantu meningkatkan aspek keselamatan di jalan-jalan tersebut,” katanya.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Azaharuddin Tajuddin, Setiausaha Majlis Perbandaran Kuala Selangor Mohamad Yusli Askandar, Ketua Pegawai Operasi Lebuh Raya LATAR Ahmad Fuad Ahmad Shahimi dan Ketua Jualan Runcit Wilayah Tengah, Bahagian Runcit-Bahan Api, PETRONAS Dagangan Berhad Hashiful Shuib.
-ZS-