
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Exco Kesihatan Johor (Johor)
ISKANDAR PUTERI, 27 Mac (MalaysiaAktif) – Usaha untuk menaik taraf Klinik Kesihatan Gelang Patah sentiasa berterusan ekoran pelbagai aduan mengenai fasiliti daif mengganggu perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat.

Kerajaan Johor telah menaik taraf ruang menunggu yang lebih selesa dan sempurna kepada pesakit di Klinik Kesihatan Gelang Patah
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Ling Tian Soon dalam satu kenyataan hari ini, berkata sebelum ini pesakit terpaksa menunggu di bawah khemah sementara yang usang untuk mengambil nombor giliran selain perkarangan klinik yang berlubang dan dinaiki air setiap kali hujan.

Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk memastikan sistem kesihatan di Johor semakin lengkap, selesa dan berdaya maju demi kesejahteraan rakyat
“Namun, selepas lebih setahun usaha berterusan, kawasan klinik telah diturap semula, klinik demam mempunyai bangunan baharu dan kawasan menunggu pesakit telah dinaik taraf kepada ruang menunggu yang lebih selesa dan sempurna.
“Hari ini, kami juga menyerahkan peralatan baharu termasuk mesin ultrabunyi, meja dan kerusi, komputer, pendingin hawa, serta pelbagai peralatan lain, sumbangan Bridge Data Centre Johor bernilai lebih RM630 ribu,” katanya.
Tambah Ling Tian Soon, pada pembentangan Belanjawan Johor yang lalu, Menteri Besar Johor juga menyebut Klinik Kesihatan Gelang Patah antara tiga buah klinik yang akan menerima bantuan Kerajaan Negeri bagi memastikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
“Dalam masa terdekat ini, Kerajaan Negeri akan menyerahkan tiga buah ambulans kepada ketiga-tiga klinik ini selain merancang untuk memindahkan Jabatan Ibu dan Anak Klinik Kesihatan Gelang Patah ke lokasi lain bagi mengurangkan kesesakan,” katanya.
Ling Tian Soon memaklumkan, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memastikan sistem kesihatan di Johor semakin lengkap, selesa dan berdaya maju demi kesejahteraan rakyat.
-AA-