
Laporan/foto: Mohd Zulfadli Ab Hamid
MACHANG, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Kolam Air Panas Tok Bok, terletak di Kampung Rengas, Labok, kira-kira 20 kilometer dari Machang, semakin terkenal sebagai salah satu destinasi rekreasi tersembunyi di Kelantan.
Dikenali dengan keunikan air panas semula jadinya, kolam ini menjadi tarikan bukan sahaja kepada penduduk tempatan, malah pelancong dari luar negeri.

Kolam Air Panas Tok Bok.
Menurut sejarah, kolam air panas ini pada asalnya hanyalah air pancut panas yang muncul di tengah sawah padi yang ditemui oleh Penggawa Daerah Labok ketika itu Mohd Taib Ibrahim.
Pada awal tahun 1950-an, beliau telah memajukan kawasan berkenaan, sebelum ia diambil alih oleh kerajaan negeri pada tahun 1980-an sehingga kolam ini berada di bawah pengurusan Majlis Daerah Machang.
Seorang pekerja kolam Darus Mamat, 39, memaklumkan bahawa ramai pengunjung datang ke sini untuk menikmati khasiat air panas yang dipercayai mempunyai manfaat terapeutik.
“Kolam ini menjadi pilihan terbaik untuk mereka yang ingin mencari ketenangan alam serta melarikan diri daripada kesibukan kota,” katanya.

Darus Mamat.
Menurutnya lagi, tahap kepanasan air di kolam ini lebih tinggi berbanding kolam air panas lain di Kelantan, menjadikannya lebih unik.
“Air panas semula jadi ini juga dipercayai berupaya membantu merawat sakit sendi serta masalah kulit,” katanya.
Bagi pengunjung yang ingin merasai pengalaman berendam di sini, bayaran masuk ditetapkan pada RM7.00 untuk dewasa dan RM3.00 untuk kanak-kanak.
Selain kolam air panas, kawasan rekreasi ini turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti parkir luas, kolam renang, taman permainan kanak-kanak, restoran, gelanggang sepak takraw serta inap desa dengan harga berpatutan.
Dengan keunikan semula jadinya dan kemudahan yang disediakan, Kolam Air Panas Tok Bok terus menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang ingin bersantai dan menikmati keindahan alam semula jadi.
-ZS-