
Laporan/foto: Farid Izzemeer/Azlizan Razaly (Hilir Perak)
TELUK INTAN, 26 Mac (MalaysiaAktif) – Pengunjung Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Teluk Intan, di sini semalam tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan 300 insentif e-dompet percuma bernilai RM20 yang diedarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Teluk Intan.

Muhammad Aiman Hilmi (kanan sekali) dan kawan-kawan gembira selepas berjaya menambah nilai e-dompet mereka
Program edaran e-dompet ini merupakan edisi ketujuh yang telah dilaksanakan di bazar tersebut sepanjang bulan Ramadan dan edaran insentif e-dompet percuma yang terakhir dijadualkan pada 28 Mac, Jumaat ini.
Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDN Teluk Intan Mior Mohammad Nazrey Arobi, berkata sambutan yang diterima daripada pengunjung adalah sangat menggalakkan sepanjang tempoh program edaran e-dompet itu berlangsung.

Muhammad Fazley antara pengunjung setia BRR Teluk Intan
“Orang ramai mula beratur di kaunter pada pukul 3.30 petang untuk menjadi antara yang terawal menerima insentif tersebut.
“Insentif yang diberikan ini adalah satu manfaat kepada pengunjung dalam membantu meringankan perbelanjaan harian selain tanda sokongan kerajaan kepada peniaga bazar yang berhadapan cabaran perniagaan yang tidak menentu,” ujarnya.
Tambah Mior Mohammad Nazrey, peniaga yang menawarkan Menu Rahmah juga diberikan insentif e-dompet bernilai RM100 secara one-off sebagai menghargai sokongan mereka kerana menyediakan juadah pada harga serendah RM5.
Pengunjung Muhammad Fazley Hamzah, 36, meluahkan rasa gembira kerana berpeluang mendapatkan insentif tersebut buat kali yang kelima ketika berkunjung membeli juadah berbuka di bazar berkenaan.
“Program ini sangat baik dan patut diteruskan setiap tahun. Saya juga cadangkan ianya diperluas dan diedar pada setiap perayaan yang disambut di negara ini,” katanya ketika ditemui.
Bagi Muhammad Aiman Hilmi Ahmad Ridzuan, 25, dia bersyukur dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh KPDN kerana ia dapat membantu sedikit sebanyak dalam urusan perbelanjaan sehariannya.
“Saya sendiri telah menerima insentif ini buat kali ketiga, alhamdulillah. Selain membantu kami sebagai pembeli, ia juga dapat merancakkan lagi jualan peniaga di bazar ini,” ujarnya.
-AA-