Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Kuih Tradisional Warisan Keluarga Pilihan Pengunjung Bazar Shahbandar

By 10 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini Aziz/Shuhaimi Ahmad

KUALA TERENGGANU, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Setiap kali Ramadan menjelang, Nur Shahira Ahmad Sukri, 39, sentiasa memastikan pelbagai jenis kuih tradisional dihidangkan di Bazar Ramadan Taman Shahbandar.

Dengan pengalaman lebih tujuh tahun dalam bidang pembuatan kuih, Nur Shahira kini telah menjadi antara penjaja yang dikenali di bazar tersebut.

Sira pisang, salah satu kuih tradisi yang dijual memikat selera penggemar.

“Saya belajar membuat kuih daripada mak dan nenek dan tahun ini sudah tujuh tahun saya berniaga kuih tapi hanya di bulan Ramadan sahaja,” kata Nur Shahira ketika ditemui, di sini kelmarin.

Setiap hari sepanjang Ramadan, Nur Shahira menjual 10 jenis kuih yang berbeza seperti tepung kapur, tok aji serban, sekaya, lepat jagung, puding roti, kek gula hangus, agar-agar santan, puding biskut, pengat pisang dan sira pisang.

“Saya dan suami Abdul Hasnol Azran Abdul Rahman, 36, serta ibu saudara saya Ruzilawati A. Rahman, 42, akan menyediakan kuih-muih ini setiap hari.

“Kami mula berniaga pada pukul 4.15 petang dan biasanya bertahan sehingga waktu berbuka dengan menu yang sama setiap hari,” ujarnya.

Nur Shahira mengakui bahawa dia hanya berniaga kuih selama 26 hari sepanjang Ramadan kerana tiga hari sebelum raya digunakan untuk persiapan menyambut Aidilfitri.

Kek batik yang dijual oleh Nur Shahira.

“Saya tak pernah rasa jemu sebab pelanggan selalu beri maklum balas yang baik.

“Kuih-kuih ni semua adalah resipi turun temurun dari keluarga saya,” kata Nur Shahira dengan penuh bangga.

Dengan semangat dan usaha yang tinggi, Nur Shahira dan keluarganya terus menghidupkan tradisi pembuatan kuih Ramadan yang telah menjadi sebahagian daripada identiti keluarga mereka.

-ZS-

Tinggalkan komen anda