Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Lambakan Tembikai Punca Harga Jatuh, Petani Tanggung Kerugian

By 8 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rosli Muhammad

PASIR PUTEH, 26 Mac (MalaysiaAktif) – Lambakan buah tembikai di pasaran sejak awal Ramadan menyebabkan harga buah itu jatuh mendadak, sekali gus memberi kesan kepada pendapatan petani.

Pengusaha sedang memetik buah tembikai untuk dijual.

Harga tembikai yang sebelum ini dijual pada lebih RM2.00 sekilogram kini merosot ke bawah RM1.00 sekilogram susulan pengeluaran serentak di beberapa daerah seperti Bachok, Besut dan Setiu.

Pengusaha tembikai, Zaidi Ya, 51, yang mengusahakan tanaman tembikai jenis boci berwarna merah dan kuning di Kampung Bukit Tanah, di sini, berkata kejatuhan harga tahun ini menjejaskan pendapatannya.

“Setiap tahun saya menanam tembikai di atas tanah seluas satu ekar dengan modal keseluruhan RM3,000. Sebelum ini, saya menjual tembikai kepada pemborong pada harga RM1.50 hingga RM2.00 sekilogram dan memperoleh keuntungan.

“Namun, tahun ini pemborong hanya membeli pada harga RM0.40 hingga RM0.50 sekilogram, menyebabkan saya mengalami kerugian dan tidak mendapat pulangan modal,” katanya kepada Malaysiaaktif hari ini.

Hanya buah tembikai yang matang dipetik.

Beliau berharap pihak berkuasa seperti Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dapat memberikan bantuan pertanian atau sokongan modal bagi memastikan kelangsungan usahanya pada masa akan datang.

Buah tembikai lazimnya mendapat permintaan tinggi sepanjang Ramadan kerana rasanya yang manis dan menyegarkan.

Bagaimanapun, lambakan buah tembikai di pasaran ketika ini membolehkan orang ramai mendapatkan bekalan pada harga lebih murah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda