Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Legasi Budak Arang: Warisan Tradisi Janjikan Keuntungan Lumayan

By 10 Mac 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini

BACHOK, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Siapa sangka industri pembuatan arang yang sering dipandang sepi sebenarnya mampu menjanjikan pulangan lumayan?

Di sebalik kepulan asap dan panas dapur arang, tersimpan kisah kegigihan seorang wanita yang tekad meneruskan warisan keluarganya.

Rosenani Jusoh, 45, bukan sekadar pewaris, tetapi juga legasi terakhir pembuatan arang di Kampung Padang Bual.

Proses pembungkusan arang untuk jualan secara pukal atau runcit.

Berbekalkan pengalaman turun-temurun, Rosenani bersama keluarganya memastikan tradisi ini terus bernafas meskipun cabaran semakin menghimpit.

“Permintaan terhadap arang tidak pernah putus, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan.

“Ramai peniaga membeli dalam kuantiti besar untuk memenuhi keperluan perniagaan mereka,” ujar Rosenani yang mengendalikan hampir 50 dapur arang (relau) atau ‘gok’,” katanya semalam.

Bermula dengan hanya sebuah gok lebih 50 tahun lalu, kini keluarganya mampu menghasilkan sehingga 1,400 kampit arang bagi setiap gok, memberikan pulangan lebih RM1,000 setiap satu.

Kejayaan ini bukan datang bergolek, tetapi hasil usaha gigih dan kecekalan mereka meneruskan teknik tradisional yang diwarisi sejak empat generasi.

“Proses pembuatan arang bukanlah mudah dimana kayu akasia dan rhu dipilih dengan teliti akan disusun dalam gok berbentuk iglu sebelum ditutup rapat dengan bata dan dilapisi lumpur bagi mengekalkan kestabilan suhu api.

“Proses pembakaran mengambil masa di antara 12 hingga 30 hari sebelum arang yang berkualiti tinggi dihasilkan dan sedia untuk dipasarkan,” katanya.

Menurutnya, masa depan industri ini masih menjadi tanda tanya kerana kekurangan tenaga pelapis yang berminat untuk meneruskan perniagaan menjadi kebimbangan utama.

“Anak-anak muda sekarang kurang berminat. Mereka lebih memilih pekerjaan yang lebih mudah dan tidak memerlukan kudrat yang banyak,” luahnya dengan nada kecewa.

Katanya lagi, risiko utama dalam pembuatan arang adalah kawalan api yang memerlukan ketelitian tinggi.

Proses pembakaran akan berlangsung selama 12 hingga 30 hari mengikut saiz gok.

“Kesilapan kecil boleh menyebabkan kayu tidak menjadi arang atau lebih teruk, terbakar habis menjadi abu.

“Faktor cuaca juga memainkan peranan besar kerana arang yang sudah siap boleh rosak jika terkena hujan,” katanya.

Biarpun cabaran semakin getir, Rosenani tetap berpegang teguh pada prinsipnya untuk memastikan warisan ini tidak pupus ditelan zaman.

Baginya, pembuatan arang bukan sekadar perniagaan, tetapi lambang ketahanan dan keunikan tradisi yang harus diteruskan.

“Selagi ada kudrat, saya akan teruskan dan berharap satu hari nanti ada generasi muda yang sudi belajar dan meneruskan legasi ini,” katanya penuh harapan.

Dalam dunia yang semakin moden, industri arang kayu mungkin kelihatan seperti satu relik masa lampau.

Namun, kisah Rosenani membuktikan bahawa warisan tradisi ini masih bernilai dan mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka yang sanggup mengusahakannya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda