
Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar
BACHOK, 23 Mac (MalaysiaAktif) – Penduduk Kampung Alor Bakat menyambut pengumuman tiga inisiatif utama kerajaan dengan penuh kesyukuran menjelang Aidilfitri.
Pengumuman tersebut merangkumi agihan keuntungan Tabung Haji 2024 sebanyak 3.25 peratus, kadar tertinggi dalam tujuh tahun, pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Dua bermula 24 hari ini serta Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri bernilai RM500 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah dan RM250 untuk pesara yang akan disalurkan minggu ini.

Nik Noor Hakim Nik Wil pendeposit sejak usia 28 tahun gembira dengan Agihan Keuntungan selepas zakat Lembaga Tabung Haji.
Nik Noor Hakim Nik Wil, 52, seorang pendeposit Lembaga Tabung Haji, menzahirkan rasa syukur atas pengumuman agihan keuntungan tersebut yang menurutnya memberi manfaat besar kepada perancangannya menunaikan haji.
“Sebagai pendeposit yang telah menyimpan sejak usia 28 tahun, saya bersyukur kerana ini dapat menambah jumlah simpanan saya untuk ke tanah suci dan menjadi galakan kepada saya untuk meningkatkan lagi jumlah deposit,” katanya.
Sementara itu, Aris Isa, 47, mengakui bahawa pengumuman BKK Aidilfitri amat dinanti-nantikan dan beliau berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap penjawat awam.
“Dengan adanya bantuan ini, para penjawat awam dapat meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat dan merancang perbelanjaan menjelang Aidilfitri. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas perhatian yang diberikan,” katanya.
Golongan ibu penerima STR turut melahirkan rasa gembira dengan pengumuman pembayaran awal Fasa Dua yang dijadualkan bermula pada 24 Mac ini.

Golongan Ibu adalah golongan paling gembira kerana mereka merupakan pendeposit Tabung Haji,penjawat awam serta pesara dan ada juga penerima STR isi rumah.
Bantuan tersebut diyakini dapat membantu mereka dalam membuat persiapan perayaan.
Kebanyakan yang ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa bagi Program JIWA@Komuniti MADANI Alor Bakat, di sini kelmarin gembira dengan berita ini kerana STR Fasa Dua akan dibayar lebih awal kerana dapat membantu mereka menghias rumah serta menyediakan kelengkapan dan keperluan Aidilfitri,
Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md. Nor yang hadir di majlis tersebut turut berkongsi berita gembira tersebut bersama komuniti dan penduduk Kampung Alor Bakat.
-ZS-