Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

Manfaatkan Waktu Tarawih Sambil Menderma Darah

By 13 Mac 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ Foto: Mohd Nizwan Mohd Daini (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Sabah memanfaatkan waktu selepas solat sunat tarawih dengan menganjurkan kempen menderma darah bersama para jemaah di masjid-masjid sekitar Kota Kinabalu.

Bermula di Masjid Baiturrahman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, program berkenaan akan diteruskan di lima masjid lain di sekitar Kota Kinabalu sebagai usaha mengimarahkan amalan ibadah umat Islam disamping menyumbang kepada sektor kesihatan negara.

Kurniahwati (kiri) menyerahkan saguhati kepada penderma dalam Program Derma Darah anjuran YADIM.

Menurut Penolong Pengarah Kanan YADIM Sabah, Kurniahwati Zulfatmi, 46, program ini diadakan bertujuan untuk memudahkan masyarakat menderma darah di bulan Ramadan tanpa mengganggu ibadah puasa mereka.

“Kami ingin mengajak umat Islam memanfaatkan masa sebelum dan selepas solat tarawih untuk melakukan amal kebajikan yang sangat bermanfaat iaitu menderma darah, selain memperoleh pahala, darah yang didermakan akan menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan terutama di bulan yang mulia ini.

“Pendermaan darah diadakan sebelum dan selepas solat tarawih bagi memastikan waktu yang sesuai untuk mereka yang ingin menderma tanpa mengganggu ibadah utama mereka,” katanya ketika semasa program berkenaan di perkarangan Masjid Baiturrahman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah di sini pada Rabu.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth 2, Lorna Abie, 47, berkata, kerjasama bersama pihak YADIM sangat penting dalam memastikan bekalan darah di hospital sentiasa dipenuhi untuk kegunaan pesakit yang memerlukan.

“Bulan Ramadan sering kali memberi cabaran yang mana akan berlaku kekurangan untuk bekalan darah kerana ramai yang berpuasa dan tidak dapat menderma dan ada sebahagian individu yang tidak dapat menderma darah kerana pelbagai sebab seperti masalah kesihatan dan umur,” ujarnya.

?Iskandar bersama kakitangan Hospital Queen Elizabeth 2 di sini  semalam.

Berkongsi pengalamannya, salah seorang penderma darah, Mohamad Iskandar Yusof, 45, berkata, beliau mula menderma darah selepas dirinya mengalami kemalangan sehingga memerlukan transfusi darah beberapa tahun yang lalu.

“Pada waktu itu, saya sangat bergantung pada darah yang didermakan oleh orang lain kerana betapa pentingnya bekalan darah dan ia memberi saya peluang untuk hidup.

“Selepas itu, setiap kali saya menderma, saya rasa seperti saya sedang menyempurnakan tanggungjawab saya sebagai seseorang yang pernah menerima darah dan mahu membantu mereka yang berada dalam situasi yang sama seperti saya dulu,” jelasnya.

Untuk makluman Program Derma Darah anjuran pihak YADIM Sabah ini akan diadakan di beberapa tempat antaranya Masjid Puncak At-Taqwa Kinarut, Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang, Masjid Negeri Sabah dan Masjid Jamek Kampung Likas.

-RJ-

Tinggalkan komen anda