Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Mangsa Kebakaran Hilang Sumber Rezeki Menjelang Aidilfitri

By 15 Mac 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Municca Kiat/Mohd Hassanuddin Mohd Sulaiman (Ranau)

RANAU, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Pemilik inap desa dan gerai sayur-sayuran yang hangus dalam satu kejadian kebakaran di Kundasang, Ranau pada Khamis, hanya mampu berdoa agar detik hitam itu tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

Biarpun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, kebakaran yang berlaku sekitar pukul 8.37 malam tersebut melibatkan tiga buah kedai runcit, dua buah rumah inap desa dan sebuah blok rumah sewa sebelas pintu jenis tidak kekal.

Faridah (tengah) akur dan reda ke atas insiden kebakaran yang turut meranapkan dua buah inap desa yang diusahakan keluarganya kemarin.

Salah seorang mangsa, pemilik rumah inap desa, Faridah Azamain, 57, berkata, kemalangan tersebut amat menyedihkan kerana melibatkan dua buah inap desa yang diusahakan keluarganya sejak tahun 2020.

“Saya tidak menyangka bahawa kebakaran tersebut hampir meranapkan semua gerai sayur yang terdapat di kawasan ini termasuk dua inap desa yang diusahakan oleh anak-anak saya sendiri sejak tahun 2020 itu.

“Kita terpaksa akur dan reda, mungkin ada hikmah yang tersembunyi di bulan yang mulia ini, apatah lagi buat mereka yang menyewa di tapak ini, mereka lagi terkesan kerana inilah tempat mereka mencari rezeki menjual sayur,” katanya ketika ditemu bual di tapak kebakaran di sini pada Jumaat.

Sementara itu, menurut anaknya, Saila Addila Rasimin, 30, kebakaran tersebut satu ujian yang berat buat mangsa yang terlibat terutama ketika ramai antaranya sedang berusaha mencari pendapatan tambahan bagi persiapan Aidilfitri.

“Kebakaran ini melenyapkan dua buah inap desa yang kami usahakan sejak tahun 2020, kami menjaga inap desa tersebut dengan baik dan tidak menyangka kejadian tersebut berlaku dengan cepat dan pantas.

Saya mengalami banyak kerugian dari segi barangan inap desa yang musnah,“ ujarnya.

Lot kedai sayur, gerai dan inap desa yang hangus akibat insiden kebakaran yang berlaku kemarin.

Dalam pada itu, bagi meningkatkan lagi langkah keselamatan, Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib menyarankan, agar setiap rumah dan penginapan mempunyai alat pemadam api yang berfungsi dengan baik.

“Selain daripada itu, penduduk kampung di kawasan Kundasang ini sangat dialu-alukan untuk menubuhkan pasukan bomba sukarela sebagai first response atau tindakan awal untuk mengawal kebakaran seperti kejadian yang tidak diingini kemarin.

“Saya mengesa kepada orang ramai untuk membuat laporan segera sekiranya melihat kebakaran dengan menghubungi talian 088-878779 ataupun 999 jika melihat asap tebal atau berlakunya sebarang kebakaran,” tegasnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda