
Laporan/foto: Juhaisa Azrin/Muhamad Jamil (Lipis)
LIPIS, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Pahang Datuk Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menyeru agar rakyat mengekalkan perpaduan di negara ini tanpa mengira agama dan bangsa.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Program Gerak Rahmah 2025: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Pahang, di sini Ahad lalu.

Antara peserta yang bertungkus-lumus menyediakan juadah tersebut.
“Program seperti ini amat baik kerana ia dapat mengeratkan hubungan antara kita serta mengukuhkan semangat perpaduan biarpun berbeza agama dan bangsa, dan saya amat berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Flagship Kembara Perpaduan Malaysia MADANI, anjuran Kementerian Perpaduan Negara yang telah bermula sejak tahun 2023 yang bertujuan untuk mengukuhkan semangat kerjasama, bersatu padu dan hormat menghormati dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini dalam usaha membina Malaysia yang lebih harmoni, sejahtera, mampan dan progresif.
Program ini turut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), serta penduduk setempat yang bersama-sama berganding bahu dalam menyediakan bubur beraneka jenis, antaranya bubur lambuk, bubur vegetarian, bubur manis, bubur sorghum dan bubur liar Pahang.
-ZS-