
Laporan/foto: Md Sazali Ab Hamid (Pengkalan Hulu)
PENGKALAN HULU, 26 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 150 orang dari golongan B40 dan miskin tegar ceria apabila menerima baucer pembelian pakaian Hari Raya bernilai RM150 setiap seorang di hadapan Pejabat UMNO Pengkalan Hulu di sini, semalam.

Salehuddin Md. Isa menyampaikan baucer kepada penerima
Pegawai Khas Menteri Besar Perak Salehuddin Md. Isa berkata, baucer ini adalah inisiatif kerajaan bagi meringankan beban untuk menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dan berharap ianya digunakan sebaik mungkin untuk menampung keperluan pakaian hari raya sekeluarga.

Sesi bergambar
Tambah Salehuddin, beliau akan berusaha sedaya upaya bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan di DUN Pengkalan Hulu selama menggalas tugas sebagai Pegawai Khas Menteri Besar Perak.
“Insyaallah saya akan terus cuba membantu tuan-tuan dan puan-puan sebaik mungkin dari segi sumbangan dan juga lain-lain keperluan memenuhi tanggungjawab saya sebagai wakil Kerajaan Negeri di DUN ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuak Luar Mohd Amran Md Nor, 58, melahirkan rasa terharu dengan cara kerajaan membantu rakyat terutamanya golongan B40 dan miskin tegar di negeri ini.
“Kerajaan cakna dengan kesukaran rakyat dan membantu mengikut keperluan bermusim. Contohnya ketika awal persekolahan, bantuan yang diberikan berkait dengan persekolahan dan begitu juga dengan musim perayaan,” katanya ketika ditemui.
Setiap JPKK di DUN Pengkalan Hulu menerima 4 kotak makanan dari Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Yayasan Pelajaran MARA pula menyediakan tambahan 60 pakej bantuan Back To School bagi pelajar yang tercicir sewaktu fasa pertama penyampaian bantuan tersebut sebelum ini.
-AA-