
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)
PENDANG, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Kempen My Beautiful Pendang merupakan iltizam Majlis Daerah Pendang (MDP) dalam mendidik mentaliti dan sikap masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan pengindahan bandar termasuk premis perniagaan, rumah kediaman dan kawasan rekreasi.

Minyak masak yang telah digunakan ditimbang untuk dijual semula.
Penolong Pegawai Tadbir MDP, Bismayazar Yusoff memaklumkan bahawa inisiatif ini dibuat oleh MDP agar masyarakat setempat mengambil tanggungjawab bersama dalam memastikan kebersihan dan keindahan bandar berada pada tahap yang memuaskan.
“Kempen ini juga dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa kebersihan persekitaran dapat membentuk komuniti yang sihat dan sejahtera,” jelasnya.
Pelaksanaan program yang diadakan semalam dibahagikan kepada dua sesi dan antara aktiviti yang diadakan bagi menjayakan kempen ini pada sesi pagi adalah slot taklimat daripada Pejabat Kesihatan Daerah Pendang dan Pejabat Agama Daerah Pendang, program kitar semula minyak masak terpakai dan edaran pakaian terpakai secara percuma melalui Program Free Market.

Orang ramai mengunjungi kiosk free market di Dewan Cenderawasih.
Sesi petang diteruskan pada pukul 3.30 petang dengan melibatkan edaran plastik sampah kepada para peniaga bazar Ramadan, edaran bubur lambuk kepada orang ramai yang melalui kawasan Telaga Gajah dan Program mySave Food di mana para peniaga bazar Ramadan akan meletakkan lebihan makanan yang tidak terjual di kiosk Telaga Gajah.
“Kita menggalakkan para peniaga meletakkan lebihan makanan yang tidak habis dijual di sini untuk tujuan infak dan sedekah.
“Ini adalah bagi mengelakkan berlakunya pembaziran makanan terutama pada bulan Ramadan, bulan yang mulia ini,” ujarnya.
-ZS-