
Laporan/foto: Norhasliza Hamzah/Fahrurazi Hashim (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Kewujudan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) mampu memperkasa komuniti melalui akses kepada teknologi dan maklumat, sekali gus merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai Marina Ibrahim, berkata NADI juga dijangka mampu meningkatkan taraf hidup penduduk setempat serta memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat.

Marina melihat kemudahan dan operasi yang terdapat di NADI Taman Sri Skudai dengan taklimat ringkas disampaikan oleh Pengurus NADI Taman Sri Skudai Lily Marlina.
“Selain itu, NADI juga berperanan sebagai hab pembelajaran dan kemahiran yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan menerusi penyediaan akses kepada teknologi komunikasi terkini yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi dan membentuk ekosistem lebih dinamik serta berdaya saing,” katanya semasa merasmikan NADI Taman Sri Skudai, di sini semalam.
Menurut Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) negeri Nurzie Ibrahim, NADI menawarkan pelbagai modul dan latihan, termasuk kelas kecerdasan buatan (AI) bagi mereka yang ingin mendalami teknologi berkenaan.
“Kemudahan e-Perubatan turut disediakan bagi membolehkan penduduk mendapatkan saringan kesihatan asas serta nasihat perubatan melalui akses Internet berkelajuan tinggi.
“Program-program di pusat ini telah disusun semula oleh MCMC berpandukan lima teras utama, iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran, dan Inisiatif Kerajaan,” katanya.
Tambah Nurzie, pembinaan NADI Taman Sri Skudai adalah sebahagian daripada inisiatif 1 DUN 1 NADI, dengan pelaksanaannya bermula pada 5 Oktober 2023 dan siap beroperasi sepenuhnya pada 30 September 2024.

Kemudahan e-Perubatan yang terdapat di NADI Taman Sri Skudai membolehkan penduduk mendapatkan saringan kesihatan asas.
“Setakat ini, Johor telah mempunyai 101 NADI, termasuk 11 pusat baharu di bawah inisiatif 1 DUN 1 NADI.
“Daripada jumlah tersebut, 99 pusat telah beroperasi sepenuhnya, manakala selebihnya sedang dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap pada suku kedua tahun ini,” katanya.
Turut hadir Penolong Pengarah Penerangan Negeri Johor (PKPM) Abdul Rahman Abdul Halim, Ketua Wilayah Selatan Jualan dan Perkhidmatan MAXIS Mazlan Mokhtar, Penghulu Mukim Pulai Zainuddin Zainal Abidin dan Ketua Komuniti MADANI Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) Siti Shafiza Shafie.
-ZS-