Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

‘Ngarantika’ Adat Resam Yang Harus Dimartabat Dan Dikekalkan

By 13 Mac 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Luhat Ajang (Sarawak)

Sematan, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Masyarakat Bidayuh Salako telah menetap di Kampung Pueh, Sematan sejak dari tahun 1875 hingga sekarang.

Walaupun telah membangun seiring dengan peredaran masa dan perkembangan dunia digitalisasi, Kampung Pueh masih memelihara dan mengekalkan warisan tradisi dan budaya yang diwarisi dari zaman nenek moyang mereka.

Menjis Demang, Ketua Kampung Pueh.

Menurut Menjis Demang, 61, selaku Ketua Kampung Pueh, Sematan menyatakan bahawa masyarakat di sini bersifat terbuka, saling hormat menghormati dan hidup dalam suasana yang harmoni dengan amalan agama serta kepercayaan yang berbeza.

“Di sini, masyarakat Salako, masih mengadakan ritual yang dikenali sebagai ‘Ngarantika’, iaitu upacara adat dan tradisi lama bagi mengucapkan rasa syukur di atas hasil tuaian padi yang telah diperolehi seterusnya memanjatkan doa untuk memohon kesihatan yang baik serta dihindari daripada gangguan roh-roh jahat,” katanya semalam.

Dalam upacara tersebut, sebelum acara ritual doa yang dikenali sebagai ‘Nyangahant’ disempurnakan, beberapa keperluan utama harus disediakan iaitu tiga ekor ayam (seekor jantan dan dua ekor betina) beserta dengan makanan tradisi seperti ‘poe’, ‘tumpik’, lemang dan banyak lagi sebagai pelengkap kepada ritual tersebut.

Limbi Bennet, Pengarah Huma mengetuai ritual ‘Nyangahant’ semalam.

“Keunikan upacara dan adat ritual suci yang diadakan setiap tahun pada bulan Februari atau Mac ini telah menjadi platform kepada usaha dalam memupuk dan menyatupadukan masyarakat setempat, selain mampu menarik minat para pelancong untuk menyaksikan dan turut serta dalam keseluruhan proses ritual ini,” kata Menjis lagi.

Limbi Benet, 57, yang juga seorang yang arif perihal adat istiadat penanaman padi merupakan ‘Pengarah Huma’ yang mengetuai ritual ‘Nyangahant’ yang diadakan di Rumah Panjang Kampung Pueh yang dikenali juga sebagai ‘Bantang Nek Bujur’.

“Majlis tersebut sentiasa mendapat sambutan yang amat menggalakkan memandangkan ianya diadakan pada hujung minggu selain bagi memberi peluang kepada seluruh warga rumah panjang khususnya dan penduduk setempat untuk hadir bersama,” katanya.

Makan tengah hari selepas selesai Nyangahant.

Robert Arthur, 35, salah seorang pelancong dari New Zealand yang turut hadir, berkata beliau sangat teruja kerana dapat menyaksikan dan menyertai penduduk kampung dalam upacara ini.

“Beliau berharap agar warisan ini akan dapat dikekalkan dan dipertahankan selama-lamanya,” katanya ketika ditemui semalam.

Setelah selesai upacara ini, tetamu dan penduduk yang hadir akan dijamu dengan jamuan makan tengah hari oleh keluarga yang menganjurkan upacara ritual tersebut sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan turut serta.

Selain upacara ‘Ngarantika’, upacara tradisi lain yang masih diraikan oleh penduduk Kampung Pueh adalah ‘Hari Pengada Gawe’, ‘Narangk’, ‘Ngoncong’ dan banyak lagi.

-RJ-

Tinggalkan komen anda